BREAKING NEWS

Sunday, 11 March 2018

Bukan mudah mansuh GST – Ku Li

GUA MUSANG 10 Mac - Langkah Pakatan Harapan diketuai DAP ingin memansuhkan pendapatan kerajaan yang dikutip melalui cukai barang dan perkhidmatan (GST) bukanlah sesuatu yang mudah.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, jika GST dimansuhkan apakah ada mekanisme lain yang boleh mendapatkan hasil sebanyak RM40 bilion daripada cukai itu.


“Dia nak ganti dengan apa kalau nak hapuskan RM40 bilion pendapatan kerajaan?

“Bagi saya, jika tengok sepintas lalu, kita pun nak hapus GST yang diguna sekarang yang memberi pendapatan tetapi bukan mudah. Kena tanya dialah (Pakatan Harapan) macam mana nak hapus,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Agropolitan Kelantan Selatan, Rantau Manis di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai manifesto pakatan tersebut yang mahu menghapuskan GST dalam tempoh 100 hari jika berjaya menguasai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kemampuan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan mengemudi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Tengku Razaleigh ha­nya mendoakan kesihatannya.

“Saya harap Tun Mahathir sihat sajalah dan boleh menjalankan kempen kerana dia dah berumur 93 tahun. Baru-baru ini dia masuk hospital, kita tak mahu kesihatannya terganggu kerana kempen ini akan jadi lebih hebat apabila digerakkan sepenuhnya.

“Pemimpin pakatan tak ramai, satu dalam penjara, satu di luar. Tak ramai, berapa orang saja yang ada. Ini bererti dialah kena pikul tanggungjawab. Melihat kepada kedudukan, kesihatan dan umurnya kesian juga,” katanya


UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.