BREAKING NEWS

Thursday, 8 March 2018

Cadang Tangguh Bayaran PTPTN, Pakatan Harapan Tidak Realistik, Bersifat Populis


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini mempersoalkan cadangan Pakatan Harapan (PH) supaya peminjam bergaji kurang RM4,000 dapat menangguhkan pembayaran balik kepada tabung pendidikan itu.

Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata cadangan tersebut sudah pun dikaji badan itu, dan mendapati ia agak sukar dilakukan.

“Ia akan menyebabkan berlaku peningkatan kepada jumlah mereka yang tak bayar balik,” katanya kepada media.

“Jika berlaku peningkatan mereka yang tidak membayar balik, ia menyebabkan kita terpaksa secara terus menerus bergantung kepada fungsi kewangan untuk membolehkan kita memberi pembiayaan kepada pelajar baharu.”

PH menerusi manifestonya antara lain menawarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Cadangan itu dibuat supaya dapat memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.

Shamsul yang juga merupakan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk Lenggong, Perak, berkata kaedah pembayaran “fleksibel” PTPTN lebih baik daripada apa yang dicadangkan oleh PH.

“Umpamanya pelajar yang keluar daripada universiti. Kita telah pun fleksibel dari 6 bulan kepada 12 bulan. Bulan ke-13 baru mereka mula membayar.

“Malah jika mana-mana di kalangan peminjam kita yang terbukti tidak berkemampuan, kita boleh lagi melanjutkan tempoh bayaran balik kepada 24 bulan,” katanya.

Menurutnya, pendekatan PTPTN juga lebih realistik dan tidak populis, di samping menjamin kelangsungan PTPTN.

“Pada saya cadangan PH itu lebih kepada gimik politik. Sebenarnya, saya bimbang mereka tak mampu laksanakan,” katanya.

Mengenai cadangan PH memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam yang gagal bayar balik, Shamsul berkata ia tidak menjamin masa depan PTPTN.

“Dulu mereka cadang nak hapus PTPTN. Mana mereka nak cari wang membantu pelajar masuk ke universiti?

“Ini sebenarnya cadangan-cadangan yang hanya mahu menarik undi terutama sekali di kalangan generasi muda. Tapi lebih kepada cadangan yang langsung tak bertanggungjawab,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.