BREAKING NEWS

Monday, 12 March 2018

Cukuplah, jangan terpedaya lagi, Zahid nasihat pengundi Cina

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pengundi Cina agar tidak terpedaya dengan janji pembangkang, sebaliknya membuat pilihan tepat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Zahid berkata, pengundi Cina jangan terjebak dengan janji pembangkang pada PRU14 kerana sehingga kini, parti pembangkang masih gagal melaksanakan janji mereka sebelum ini.

“Cukuplah, pengundi Cina jangan terjebak lagi dengan janji-janji diberikan pembangkang, tengoklah janji mereka semula, cakap nak bagi air free (percuma) tapi tak dapat pun.

“Cakap harga air tidak naik, tapi naik juga, di Selangor sampai ada yang tidak mandi kerana krisis ketiadaan bekalan air.


“Jadi, berilah peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk membuktikan kemampuan mereka untuk membantu masyarakat Cina dan saya yakin masyarakat Cina sudah mula berubah,” katanya berucap pada majlis penyerahan lesen pendudukan sementara (TOL) bagi penduduk Kampung Bagan Pasir Laut, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri yang juga Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon.

Zahid berkata, hasil turun padang di beberapa kawasan penempatan Cina di seluruh negara serta perjumpaan dengan badan bukan kerajaan (NGO) Cina, persatuan perniagaan Cina, persatuan korporat Cina, beliau dimaklumkan mereka tidak mahu lagi tertipu dengan pembangkang pada PRU14.

“Mereka kata kami sudah ditipu 2 kali pada PRU12 dan PRU13. Mereka beritahu saya kali ini orang Cina tidak mahu ditipu sekali lagi, mereka mesti dapat peluang pekerjaan, pendidikan dan keselamatan.

“Dari segi keselamatan saya jaga, pendidikan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid (jaga), perniagaan perdana menteri jaga.

“Perdana menteri sentiasa ambil berat mengenai perkara ini dan meminta saya dan Mahdzir menjaga kepentingan semua kaum,” katanya.

Mengenai pendudukan sementara itu, Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kerajaan negeri meluluskan pengambilan tanah melibatkan kawasan seluas 14.7 hektar milik syarikat Ghadaf Marble Sdn Bhd, bulan lalu.

Katanya, pengambilan tanah itu melibatkan 214 rumah di Kampung Bagan Pasir, di sini serta 4 pelantar.

“Berdasarkan permohonan tersebut, kelulusan TOL membabitkan 135 rumah serta 1 pelantar. Saya sudah beritahu setiausaha kerajaan negeri dan pegawai kewangan untuk meluluskan semuanya.”
 
Copyright © 2014 PenangKini.