BREAKING NEWS

Sunday, 11 March 2018

Guan Eng digesa sahkan gambar dengan suspek SPRM

Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik BN Eric See-To menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengesahkan gambar tular yang mendakwa memaparkan beliau berdiri di sebelah ahli perniagaan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

"Sekiranya gambar itu benar, Lim bertanggungjawab mengesahkan sama ada beliau mengenali (ahli perniagaan itu), kenapa beliau datang ke rumahnya, bila gambar itu diambil dan apa hubungan mereka," kata See-To dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Lim tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara tersebut.

See-To berkata ahli perniagaan yang dipaparkan dalam gambar itu ditahan oleh SPRM atas dakwaan menerima RM19 juta bagi membantu menangguhkan siasatan ke atas projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Gambar itu yang tular di laman sosial disertai keterangan yang mendakwa ia diambil di rumah ahli perniagaan berkenaan pada sekitar masa beliau didakwa menerima RM19 juta. tambah See-To.

"Jika anda (Lim) percaya gambar ini dimanipulasi atau diubah suai, buat laporan polis bahawa ada orang cuba fitnah," tambahnya.

Setakat ini. dua individu ditahan SPRM kerana disyaki menerima wang bagi menghentikan siasatan ke atas projek-mega Pulau Pinang berkenaan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.