BREAKING NEWS

Friday, 9 March 2018

Harga barang lebih mahal jika hapus GST dan kembalikan SST

Oleh Sufiyan Abas

Kita sambut baik manifesto pembangkang yang dibentangkan semalam. Di sini saya ingin tumpukan kepada tawaran mereka dalam menghapuskan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Sekiranya, kita membaca versi panjang manifesto tersebut di bawah Janji 1, muka surat 16, mereka sebenarnya akan memansuhkan GST, tetapi akan mengembalikan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang lapuk.

Jadi, ini bermakna cukai kepenggunaan masih dikekalkan. Adakah ia langkah yang bijak? Apakah perbezaan antara GST dan SST? Bukankah dalam kedua-dua senario, kita perlu membayar cukai juga?

Gerakan memansuhkan GST datangnya daripada persepsi ia menaikkan harga barangan dan perkhidmatan. Kita terpaksa membayar lebihan 6% daripada harga yang dibeli.

Walau bagaimanapun, tanpa kita sedari, sebelum GST kita telah membayar cukai kepenggunaan di bawah rejim SST. SST ini tersembunyi, manakala GST tidak.

Penukaran SST kepada GST pada 2015 sebenarnya hanyalah perubahan dari segi sistem percukaian, bukannya pengenalan cukai tambahan.

Persoalannya kini, adakah rakyat masih perlu membayar cukai sekiranya kita memansuhkan GST? Jawapannya adalah ya. Malahan, harga barang mungkin meningkat lagi di bawah SST.

Lihat contoh di bawah:

SST telah dikenakan ke atas RM yang pertama (iaitu bekalan koko). Kemudian, dalam rantaian bekalan, sistem SST mengenakan cukai ke atas kos kumulatif RM2 (semasa coklat dihasilkan di kilang).
Ini bermakna, SST mengenakan cukai pada RM yang pertama (di peringkat bekalan koko) sebanyak 2 kali! Apabila coklat itu dijual di kedai, SST dikenakan ke atas RM pertama sebanyak 3 kali dan RM ke-2 (peringkat pengilang) sebanyak 2 kali!
Inilah yang kita gelar “cascading effect” atau cukai bertindih, membuktikan SST ini bermasalah.
Pada waktu sama, GST memastikan kita tidak dikenakan cukai berganda. Di bawah sistem GST, cukai 6% dikenakan di setiap aras pengeluaran barangan dan perkhidmatan. Ianya sama rata sepanjang nilai tambah rantaian bekalan – kepada pembekal, pengilang dan peruncit.
Perlukah kita kembali kepada SST?
Langkah untuk kembali kepada sistem SST merupakan langkah keterbelakang, terutamanya ketika lebih 160 negara di seluruh dunia sudah beralih kepada sistem GST.
Hal ini kerana, hasil daripada persetujuan antara pakar-pakar dan pertubuhan ekonomi antarabangsa merumuskan GST tiada cukai bertindih (cascading effect), lebih telus dan mempunyai sistem kawal selia menyeluruh bagi mengelakkan penyelewengan.
Cadangan menggantikan GST kepada SST seperti berbalik kepada roda petak daripada roda bulat. Penguatkuasaan cukai sebanyak 6% akan dikenakan pada setiap peringkat pengilang, pengedaran sehinggalah ke peringkat pengguna.
sufiyan-abas-ms-5
Sufiyan Abas.
Di bawah sistem SST, harga produk sering diubah suai sesuka hati oleh orang tengah kerana mereka tidak perlu menyatakan jumlah cukai sebenar.
Terdapat banyak kes di mana pengilang tidak mendedahkan kadar SST mereka dan menyimpan kutipan cukai ini yang dikenakan ke atas pengguna.
Apabila kita melihatnya secara objektif, GST merupakan langkah ke depan. Sekarang, ramai menentang GST kerana ia muncul secara jelas di dalam bil mereka, mengingatkan mereka sedang membayar cukai. Manakala di bawah sistem SST pula, peniaga tidak perlu menyatakan cukai. Jadi, kita tidak terasa seperti membayar cukai kerana tidak sedar kewujudannya.
Ada yang akan bertanya, jika SST menjadikan barangan lebih mahal, mengapa harga barangan lebih murah sebelum kedatangan GST, iaitu di bawah SST?
Terdapat 2 jawapan bagi persoalan ini. Pertama sekali dan yang paling popular adalah kegiatan pencatutan. Orang tengah mengambil kesempatan menaikkan harga dan menuduh GST penyebabnya.
Sebab ke-2 adalah GST lebih cekap dan menyeluruh dalam pengutipan cukai kerana ianya dikawal selia sistem kukuh, menyebabkan tiada sesiapa dapat lari daripada dikenakan GST.
Isu pokoknya, tiada sesiapa yang suka membayar cukai. Namun, penghapusan GST tidak bermakna cukai akan dihapuskan. Sebaliknya, SST akan dikembalikan.
Jika ada pihak ikhlas mahu menghapuskan cukai kepenggunaan, mereka akan menurunkan kadar GST ke sifar, bukannya memperdaya orang dengan menukarnya kepada SST.
Jadi, pembangkang perlu bersikap jujur terhadap rakyat, sudah tentu mereka tahu kelemahan sistem SST ini kerana ramai di antara mereka terdiri daripada golongan yang arif dalam ilmu kewangan.
Jadi, adakah mereka benar-benar percaya kepada sistem ini atau mereka hanya mahu memansuhkan GST (untuk digantikan dengan SST) semata-mata untuk memancing undi?
Kesimpulannya, terdapat 2 perkara utama yang perlu difahami. Pertama, sekiranya GST dihapuskan, ia akan disusuli SST. Kedua, SST adalah sistem lapuk dan tindakan mengembalikannya adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.
Dasar yang diguna pakai untuk negara kita perlulah bersesuaian buat jangka panjang (#Forwardlooking), bukannya yang lapuk. Oleh itu, penting untuk kita menerapkan pemikiran #ForwardTogether demi merealisasikan masa depan cerah.
Sufiyan Abas ialah tmbalan presiden Organisation for National Empowerment (ONE).

SUMBER

 
Copyright © 2014 PenangKini.