BREAKING NEWS

Friday, 16 March 2018

Hutang Pulau Pinang rendah kerana Kerajaan Persekutuan - GERAKAN


GEORGETOWN: Kadar hutang terendah direkodkan Kerajaan DAP Pulau Pinang adalah hasil penstrukturan semula dilakukan Kerajaan Persekutuan membabitkan nilai RM655.24 juta pada tahun 2011.
Bendahari GERAKAN negeri, Ng Fook On, berkata penurunan kadar itu sebaliknya tidak berkait dengan dakwaan kononnya kerajaan negeri mengamalkan pengurusan kewangan yang baik.
Katanya, kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng sering memberi tanggapan salah kepada rakyat apabila menegaskan kadar hutang Pulau Pinang mencatatkan penurunan 80 peratus sejak ditadbir pakatan pembangkang pada 2008.
"Terkini, beliau menyatakan hutang kerajaan negeri hanya RM64 juta dan muncul sebagai kadar terendah berbanding negeri lain, konoNnya ekoran pengurusan kewangan yang baik.
"Saya ingin mengingatkan Guan Eng supaya memberi penjelasan yang betul kepada rakyat berhubung penurunan kadar hutang negeri ekoran pengambilalihan sebanyak RM655.24 juta oleh Kerajaan Persekutuan ketika proses penstrukturan semula menerusi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
"Malah, hutang negeri pada hujung tahun 2016 bernilai RM721.57 juta, sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak melakukan penstrukturan semula kadar berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Fook On berkata, pembentangan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) pada tahun 2012 jelas menyatakan Inisiatif Penstrukturan Semula Perkhidmatan Air yang menghasilkan penurunan drastik kadar hutang negeri, membabitkan nilai RM655.24 juta yang terpaksa ditanggung selama 45 tahun.
"RM655.24 juta ini adalah liabiliti ditanggung Kerajaan Persekutuan bagi suatu jangka panjang iaitu 45 tahun. Justeru, kerajaan negeri tidak seharusnya memberi tanggapan salah mengenai kadar hutang Pulau Pinang kepada rakyat.
"Malah, penstrukturan semula kadar hutang itu jauh lebih besar dinikmati mereka berbanding ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir Pulau Pinang, kerana kerajaan negeri terdahulu hanya mencatatkan kadar hutang RM496.51 juta," katanya.
Sebelum ini, Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa memberi tanggapan salah kepada rakyat mengenai bantuan daripada Kerajaan Persekutuan pada beberapa majlis dianjurkan pentadbiran mereka.
Malah, Guan Eng turut mendakwa kadar hutang berkaitan air adalah berpunca daripada pentadbiran kerajaan negeri terdahulu dan adalah adil untuk mengembalikannya kepada Kerajaan Persekutuan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.