BREAKING NEWS

Wednesday, 21 March 2018

Isu jual tanah Ijok, dua 'Datuk' antara enam ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan enam individu termasuk dua ‘Datuk’ bagi membantu siasatan isu penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di Ijok, Selangor kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Kesemua mereka yang berusia antara 34 hingga 84 tahun itu ditahan di sekitar Petaling Jaya dan ibu pejabat SPRM Putrajaya antara jam 12.45 tengah hari sehingga 4 petang Selasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, siasatan berkenaan melibatkan penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima buah syarikat pemaju tempatan.

Selain itu, pihaknya turut merampas beberapa dokumen penting daripada tiga buah syarikat berkaitan bagi membantu siasatan.

“Kita telah buat tangkapan untuk siasatan lanjut. Esok (Rabu) kita akan mengemukakan mereka untuk mendapatkan tangkapan reman bagi menyempurnakan siasatan lanjut yang kita akan adakan.

“Ianya melibatkan beberapa syarikat yang menjadi syarikat pengantara dalam transaksi ini. Kita telah meneliti perkara ini kerana jumlah yang terlibat itu amat besar, melebihi RM200 juta,” katanya selepas menghadiri program Walkabout Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di Bandar Hilir, Melaka petang Selasa.

Jelas Dzulkifli, SPRM juga telah membeku sembilan akaun peribadi serta syarikat milik kesemua suspek yang ditahan yang bernilai RM39 juta bagi membantu siasatan.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang giat mengesan seorang lagi pengarah syarikat bergelar ‘Datuk’ yang dipercayai berada di luar negara serta seorang individu lelaki lain bagi membantu siasatan sama.
 
Copyright © 2014 PenangKini.