BREAKING NEWS

Tuesday, 13 March 2018

'Kasihanilah kami'

GEORGETOWN: “Usah ditambah derita yang ada, kasihanilah kami,” rayu Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) yang meminta pertimbangan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk meringankan hukuman denda dikenakan terhadap persatuan itu.
Naib Presiden FAP, Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata, denda RM500,000 dikenakan bukan satu jumlah kecil ditambah pula skuad Harimau Kumbang turut berdepan masalah kewangan kritikal.
Beliau berkata, masalah dihadapi terutama ketiadaan penaja merumitkan lagi usaha FAP menjelaskan gaji semua pemain termasuk bekas pemain sejak tahun lalu.
Katanya, tunggakkan hutang perlu dijelaskan FAP dianggarkan berjumlah RM3 juta dan rayuan itu perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Suntikan geran tahunan diberikan sedikit sebanyak membantu pembentukan pasukan dan tindakan denda itu pasti menjejaskan semua pasukan terbabit,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.
Mohd Azizudin berkata, dengan adanya geran ia sedikit sebanyak mampu menjelaskan tunggakan gaji pemain dan bekas pemain Liga Super dari bulan Oktober dan November tahun lalu.
Beliau berkata, pemain Harimau Kumbang yang disambung kontrak pula turut menghadapi tunggakan gaji dari Oktober hingga Disember tahun lalu biarpun kerajaan negeri turut membantu menyuntik sedikit bantuan modal namun ia masih tidak mencukupi.
Katanya, FAP kini sedang mencari penaja dan beberapa syarikat kini masih dalam rundingan awal namun tiada persetujuan dibuat buat masa ini selain berharap ada lagi beberapa syarikat lain sudi menjadi penaja.
“Kita mengharapkan segala masalah FAP dapat diselesaikan dan FMLLP melihat rayuan dibuat semua pasukan terbabit membuktikan kesusahan sebenar dihadapi demi memartabatkan mutu bola sepak negara,” katanya.
FMLLP mengenakan denda RM1.5 juta ke atas empat pasukan Liga Super iaitu Selangor, PKNS FC, Kuala Lumpur dan Kelantan. 
Selain itu denda RM500,000 dikenakan ke atas enam pasukan Liga Perdana membabitkan Kuantan FA, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang, MISC-MIFA dan UKM FC.

 
Copyright © 2014 PenangKini.