BREAKING NEWS

Monday, 19 March 2018

Kerajaan Agih RM5.3 Juta Wang Ihsan Mangsa Banjir Pulau Pinang - Shahidan Kassim




KUALA LUMPUR – Jumlah peruntukan wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang yang telah diberikan ialah sebanyak RM5,387,000, Dewan Rakyat diberitahu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim penyerahan bantuan di kawasan-kawasan yang terjejas telah mula diagihkan pada 11 Mac lalu dan akan diselesaikan dalam bulan ini juga.

“Bantuan bencana khas wang ihsan daripada kerajaan pusat telah mula diagihkan pada 11 Mac 2018 di Parlimen Nibong Tebal. Manakala penyerahan bantuan di Parlimen Tanjong, Bukit Mertajam dan Batu Kawan sudah diagihkan pada 17 Mac 2018.

“Manakala kawasan-kawasan lain akan diselesaikan pada bulan Mac ini juga. Jumlah peruntukan yang telah diberikan ialah sebanyak RM 5,387,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya lagi, satu jawatankuasa sudah ditubuhkan yang melibatkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, bagi membuat kajian menyeluruh dan holistik dengan mengambil kira impak pembangunan di lembangan bagi memastikan masalah banjir buruk di Pulau Pinang dapat diatasi dengan berkesan dan tidak akan berulang lagi.

Selain itu katanya, kerajaan pusat setakat ini sudah meluluskan RM150 juta dan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan mengikut keperluan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.