BREAKING NEWS

Monday, 19 March 2018

Lagu ABC bermesej politik, laporan polis terhadap Lim Guan Eng

GEORGE TOWN: Dua badan bukan kerajaan (NGO) dan Penang Front Party (PFP) meminta polis menyiasat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang didakwa cuba mengeksploitasi kanak-kanak demi kepentingan politik.

Pengerusi PFP Datuk Patrick Ooi; Pengerusi Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Rakyat 1Malaysia, Mohd Ibrahim A Siahoo membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Ooi menyifatkan tindakan Lim menyanyikan lagu “ABC”, yang kandungan lirik dilihat menyindir kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan sekumpulan kanak-kanak sebagai menghina kerajaan pusat.

“Ketua menteri dalam perasmian tuisyen rakyat semalam telah membawa cakera padat (CD) sendiri dan mengajar budak-budak menyanyi lagu itu (ABC). Menyanyi itu tidak salah, tapi lagu itu telah menghina kerajaan dengan menyebut GST, 1MDB.
“Dia menyatakan disebabkan GST semua orang makan mee maggi dan beliau mengaitkan isu-isu ini kepada 1MDB,”dakwanya.

Sementara itu, Sophian berkata Lim cuba membawa budaya yang kurang sihat dengan berbuat demikian kerana program itu melibatkan kanak-kanak bawah umur.
“Dia mengekspliotasi kanak-kanak untuk kepentingan politik.

“Dalam keadaan yang terdesak, negara menghampiri pilihan raya…DAP, Lim Guan Eng, Pakatan Harapan menggunakan semua saluran dengan menghalalkan cara membawa budak-budak, isu pendidikan ke kancah politik,”katanya.



 
Copyright © 2014 PenangKini.