BREAKING NEWS

Friday, 9 March 2018

Lebih RM140 juta biaya perubatan veteran ATM - Hishammuddin Hussein

Kerajaan membelanjakan kira-kira RM140.3 juta bagi pelbagai kemudahan perubatan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sepanjang 2017, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata ia meliputi perbelanjaan sebanyak RM82.56 juta untuk membiayai bayaran perubatan alat ortopedik, implan, alat pendengaran, kanta mata dan tuntutan perjalanan hospital.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut membiayai peralatan sokongan kepada pesakit seperti kerusi roda, tongkat, katil dan tilam dengan perbelanjaan lebih RM500,000.

“Rawatan dialisis berjumlah RM46.96 juta juga dibelanjakan yang beri manfaat kepada 9,314 veteran, selain bantuan pengurusan jenazah yang kita belanjakan sebanyak RM10.28 juta untuk membantu waris veteran,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.



Beliau menjawab soalan tambahan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR-Bukit Katil) yang ingin tahu lebih lanjut mengenai kemudahan diberikan kerajaan kepada golongan veteran ATM selain kemudahan perubatan.

Katanya semua perbelanjaan itu menunjukkan bantuan holistik dan penghargaan kerajaan terhadap anggota tentera yang banyak berbakti demi keselamatan dan keamanan negara.

Mengenai Pelan Transformasi Perkhidmatan Kesihatan ATM 2017-2050, Hishammuddin berkata ia menggariskan 6 lonjakan strategik iaitu dari aspek profesionalisme, kualiti perkhidmatan, perubatan medan, kesejahteraan komuniti ATM, pembangunan perkhidmatan dan diplomasi kesihatan.

Katanya pelan transformasi yang memberi manfaat kepada anggota tentera dan veteran serta keluarga mereka itu antara lain menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih kondusif melalui penawaran dan perluasan program baharu seperti penubuhan poliklinik, pewujudan klinik malam, penambahan klinik pakar “outreach”, penubuhan pusat rehabilitasi dan penambahan pusat-pusat dialisis yang baharu.

“Pencapaian keberhasilan dan impak jangka masa pendek serta sederhana hasil pelan transformasi ini bakal dilihat dan dirasai apabila inisiatif tersebut dilaksanakan secara berperingkat.

“Sejak dilancarkan agenda ini, Kementerian Pertahanan dan saya sendiri memantau dan melihat sendiri perkembangan dan penerimaan, serta sambutan yang diterima amat menggalakkan. Saya yakin kita berada di landasan yang betul,” katanya menjawab soalan asal Datuk Mohd Zaim Abu Hasan (BN-Parit) yang antara lain ingin tahu sejauh mana pelan transformasi berkenaan memberi manfaat kepada keseluruhan anggota tentera.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata hospital khusus bagi veteran ATM yang bakal dibina di Tambun, Perak akan meneliti keunikan dan kelebihan yang ada pada hospital veteran tentera di luar negara bagi menjadikan hospital tersebut terbaik di rantau ini.

Hospital veteran tentera yang ke-2 di Asia Tenggara selepas di Thailand itu akan menyediakan perkhidmatan “one-stop centre” dan menawarkan khidmat pakar rujukan berhubung masalah kesihatan yang kronik dan kritikal.
 
Copyright © 2014 PenangKini.