BREAKING NEWS

Monday, 12 March 2018

Malaysia jadi negara defisit tanpa RM45 bilion daripada GST

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia akan menjadi negara defisit tanpa kutipan hasil RM45 bilion melalui pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Tanpa GST, Najib yang juga menteri kewangan berkata, negara tidak mungkin mampu mengutip hasil sebanyak RM45 bilion setahun yang kemudian dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk bantuan pendidikan, pekebun kecil dan nelayan serta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Kalau pembangkang hendak menghapuskan GST untuk digantikan dengan SST (cukai jualan dan perkhidmatan), itu tipu. Kalau tidak dapat hasil RM45 bilion, negara akan menjadi negara defisit.

“Kita tahu hutang negara kian menguncup, tetapi kalau hasil itu tiada, hutang negara akan meningkat dan menjadi seperti Greece,” katanya berucap pada Program Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) Bersama Siswa di Seri Perdana, hari ini.

Najib berkata, kadar GST Malaysia antara terendah di dunia, iaitu 6% di mana 164 negara lain turut melaksanakan GST, dengan yang terbaru di India.

Malaysia mula melaksanakan GST pada 1 April 2015.



Najib berkata, terdapat 13 juta pekerja di negara ini, tetapi hanya 2 juta daripadanya yang membayar cukai pendapatan.

“Macam mana nak tampung kalau tiada pendapatan, maka kita terpaksa buat GST.

“Kempen nak hapuskan GST tu senang, tapi nak terang teori itu…tiada,” kata Najib.

Berucap di depan 400 pelajar institusi awam dan swasta, Najib berharap sebagai warga berpendidikan tinggi, mahasiswa perlu memainkan peranan memberitahu rakyat GST adalah sistem percukaian terbaik untuk negara.

Turut hadir di majlis sama ialah isteri perdana menteri dan Yang Dipertua Bakti, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan membuat perancangan besar untuk negara demi kesenangan generasi akan datang.

“Kita sedang membuat pelaburan untuk masa depan Malaysia…bila kita bangunkan sebuah tamadun, kita perlu menimbangkan orang muda sebagai aset dan setiap dasar mesti menjadikan aset ini, nanti akan membawa pulangan untuk masa depan negara.

“Kita lihat Transit Aliran Massa (MRT) Sungai Buloh-Kajang telah siap dan kita akan buat MRT2 ke Putrajaya dan turut merancang MRT3 untuk keseluruhan kawasan Lembah Klang,” katanya.

Jelasnya, selain pelbagai projek pembangunan dirancang kerajaan, projek yang dibangunkan secara langsung turut menyediakan peluang pekerjaan.

Perdana menteri juga melihat projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) bakal mengubah gaya hidup rakyat pada masa depan.

“Bila siap HSR nanti, nilai tanah akan naik dan berlaku perubahan landskap yang mana orang Singapura pun akan beli rumah di Malaysia dan orang Malaysia akan kerja di Singapura.

“Kalau boleh, saya juga nak hapuskan kutipan tol dalam bandar secara berperingkat.”

 
Copyright © 2014 PenangKini.