BREAKING NEWS

Tuesday, 20 March 2018

Malaysian Malaysia: Umpan yang meranapkan negara - Penerima PGB


KUALA LUMPUR 20 Mac - Dalam sejarah hidupnya, Ielias Ibrahim telah mempertaruhkan nyawa bagi mempertahankan keamanan negara sehingga dianugerahkan Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) di atas keberanian luar biasanya berdepan serangan komunis pada 1977.


Bagi Ielias yang bersara dengan pangkat Pegawai Waran 1 itu, kemakmuran dan kemajmukan Malaysia yang dinikmati hari ini hasil pengorbanan anggota keselamatan dahulu perlu dipertahankan kerana ia adalah nikmat Allah kepada negara.


Sehubungan itu, katanya, pemimpin politik dalam keghairahan berkempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perlu mengelakkan ‘umpan’ politik yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum sekaligus meranapkan negara yang telah dibina sejak merdeka.

Katanya, ini termasuk mengelakkan ‘hasrat’ peribadi sesuatu kelompok seperti impian menjayakan agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang ternyata hanya menimbulkan perpecahan kaum.

“Tolaklah pihak-pihak yang cuba mencetus persengketaan kaum kerana kalau ia terjadi, maka sia-sia sahaja perjuangan anggota tentera dan polis dahulu yang berjuang mempertahankan keamanan.

“Jangan sampai satu masa nanti, anak cucu kita mengutuk kita kerana mewariskan sebuah negara yang telah ranap kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebelum ini ketika perbahasan di sesi Dewan Rakyat, lantang menegaskan tetap berpegang teguh mahu mewujudkan sebuah negara berkonsepkan ‘Malaysian Malaysia’.

Penegasan itu menimbulkan tanda-tanya terhadap pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad memandangkan bekas Perdana Menteri itu pernah menolak DAP kerana prinsip berkenaan. - UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.