BREAKING NEWS

Friday, 9 March 2018

Mara belanja RM28.7 bilion taja pelajar

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM28.7 bilion setakat tahun lalu bagi membiayai pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat dan institusi termasuk dalam serta luar negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, Mara telah mela­hirkan 1.2 juta pelajar termasuk 500,000 daripadanya merupakan yang mendapat tajaan penuh agensi itu.


Sehubungan itu katanya, Mara akan terus merangka pelbagai program dan latihan dari semasa ke semasa demi meningkatkan taraf bidang yang diceburi oleh golongan bumiputera.

“Kita ada ekosistem pendidikan yang lengkap dan menyeluruh untuk semua sijil dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di pusat GiatMara sehinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Malah kita juga telah lahirkan lebih 480,000 pelajar TVET terlatih demi memenuhi keperluan industri dan segala subjek mengikut keperluan semasa seperti bidang aeroangkasa, kereta api laju dan digital,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Mara Ke-52 di sini hari ini.

Yang turut hadir dua Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Borhan Dollah serta Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Mara juga akan me­ngubah konsep keusahawanan yang diterapkan oleh agensi itu dengan memberi fokus kepada bidang francais bagi membantu golongan bumiputera menjana pendapatan lebih tinggi.

“Kita juga telah melahirkan satu juta usahawan sehingga kini. Jika sebelum ini usahawan Mara lebih tertumpu kepada konsep gerai makanan, kali ini kita mahu mereka fokus kepada bidang baharu termasuk teknologi digital.

“Sebab itu kita bina Mara Digital Mall demi masa depan usahawan Mara. Kita juga akan melihat kembali beberapa sektor yang dahulunya dipelopori oleh Mara termasuk francais untuk kembangkan demi memenuhi keperluan,” katanya.



 
Copyright © 2014 PenangKini.