BREAKING NEWS

Tuesday, 6 March 2018

Mayat lelaki Jerman ditemukan di hotel di Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki warga Jerman ditemui mati dalam bilik sebuah hotel di Seberang Jaya hari ini dipercayai akibat serangan jantung.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata mayat Ralf Der, 56, ditemui rakannya yang datang ke bilik hotel lelaki itu kira-kira 8.20 pagi tadi.
“Berdasarkan maklumat awal, lelaki itu menginap di hotel berkenaan sejak 24 Februari lepas dan dia yang bekerja dengan sebuah syarikat elektronik berada di Malaysia kerana urusan kerja.

“Menurut rakannya, kali terakhir dia melihat mangsa kira-kira 4.00 petang Sabtu dan selepas itu lelaki berkenaan gagal dihubungi sebelum dia datang ke hotel tersebut untuk melihat keadaan mangsa,” katanya hari ini.



Nik Ros berkata berdasarkan pemeriksaan awal forensik di tempat kejadian, tiada unsur jenayah dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata polis menahan 8 individu termasuk 2 wanita yang merupakan penagih serta pengedar dadah dalam dua serbuan berasingan di Machang Bubok dan Berapit pada Sabtu.

Katanya dalam serbuan pertama di sebuah rumah kira-kira 3.30 petang di Machang Bubok, polis menahan 4 lelaki dan 2 wanita berusia 26 hingga 34 tahun sedang menghisap dadah di kediaman seorang daripada mereka.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, syabu dan ganja bernilai hampir RM5,000 serta peralatan menghisap dadah. Mereka yang ditahan itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dan aktif dalam kegiatan berkenaan sejak tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata dalam serbuan kedua pada 10.30 malam di Berapit, polis menahan dua lelaki berusia 46 dan 66 tahun serta merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai kira-kira RM3,000.
Katanya lelaki berusia 66 tahun itu turut mempunyai 18 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan dia juga antara pengedar dadah yang dikehendaki polis.

“Semua 8 individu ditahan itu positif dadah dan mereka kini direman 7 hari bagi membantu siasatan. Kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.