BREAKING NEWS

Thursday, 22 March 2018

Najib: GST di Malaysia terendah

KOTA KINABALU: Kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) negara sebanyak 6% merupakan kadar terendah berbanding kadar GST di negara lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Beliau berkata kerajaan terus prihatin dengan mengecualikan GST ke atas 578 barangan keperluan.

“Lazimnya, mereka (orang tengah) akan menaikkan harga barangan dan salahkan kerajaan kononnya harga naik disebabkan GST.

“Ini tak benar kerana GST kita laksanakan sejak 2 tahun lalu, sepatutnya tiada kesan sama sekali (pada harga barangan),” katanya ketika melancarkan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan Biz Far Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Najib juga berkata hasil GST membolehkan kerajaan memberi pelbagai bantuan dan insentif kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).



“Kita sediakan RM6.8 bilion untuk agihan BR1M tahun ini dan (daripada jumlah itu) di Sabah, RM561 juta untuk Sabah,” katanya, sambil menambah pengagihan BR1M turut membantu ekonomi berkembang.

Najib berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mendengar nadi rakyat agar langkah penyelesaian dapat dilaksanakan bagi membantu dan memanfaatkan rakyat.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan penganjuran karnival diadakan 2 kali sebulan di setiap kawasan Parlimen seluruh negara.

Beliau turut menambah RM5 juta lagi kepada peruntukan RM5 juta sedia ada bagi penganjuran karnival itu seluruh negara.

Sempena majlis pelancaran karnival itu, Najib mengumumkan penjualan barangan asas pada harga istimewa.

Antaranya, beras super 10 kg pada RM23.80 di pasaran dijual pada RM20 untuk 20 kg, ayam bulat segar pada RM5 seekor (RM8.50 sekilo harga pasaran) dan daging lembu segar pada RM15 sekilo (RM25 sekilo harga pasaran).

Najib juga menyerahkan zakat korporat SSM berjumlah RM200,000 dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSM Prihatin sebanyak RM200,000 kepada Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Zakat korporat itu diagihkan kepada 1,000 asnaf, termasuk beberapa surau dan masjid sekitar Sabah, manakala sumbangan CSR itu akan diagihkan kepada 2,000 penduduk Sabah yang layak.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner.
 
Copyright © 2014 PenangKini.