BREAKING NEWS

Sunday, 11 March 2018

PAS Sifatkan Manifesto Pakatan Harapan Bersifat Retorik, Barisan Nasional Sudah Laksanakan

Pas menyifatkan manifesto Pakatan Harapan diketuai DAP bersifat retorik dan ­ulangan, malah sebahagian janji yang ditawarkan sebenarnya sudah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, janji untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu juga satu perkara yang tidak realistik dan sukar dicapai.

Beliau berkata, semua pihak perlu menyedari hakikat bahawa GST adalah salah satu perkara penting yang memberi pendapatan kepada kerajaan, namun kaedah perlu dicari supaya isu beban kepada golongan berpendapatan rendah dapat diselesaikan.

“Sebahagian perkara dalam manifesto sudah dilaksanakan kerajaan, manakala sebahagian lagi sukar dicapai, ada antaranya merupakan tawaran semasa manifesto Pakatan Rakyat dahulu yang hanya diubah ayat.

“Kalau kita lihat dari sudut percukaian yang katanya hendak hapuskan terus cukai, dalam sesebuah negara tidak boleh kita hapuskan cukai, pada asasnya kita dalam dunia ini ada tiga perkara yang kita tidak boleh elak iaitu kematian, perubahan dan cukai.

“Walaupun ada cukai tetapi ia mestilah tidak membebankan rakyat, mekanisme perlu dicari contohnya mengenakan cukai kepada golongan korporat dan yang aktif di bursa saham tetapi untuk rakyat miskin perlu ada satu skim sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Mesyua­rat Agung Pas Kali Ke-61 Pas Kawasan Tumpat yang disempurnakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas akan melancarkan manifestonya pada 18 Mac ini di Cyberjaya yang dinamakan sebagai Manifesto Gagasan Sejahtera.

Jelasnya, manifesto itu nanti akan mengemukakan cadangan pelaksanaan cukai yang tidak akan membebankan rakyat.

“Manifesto itu juga akan lebih banyak menekankan kepada cerita-cerita kejayaan Pas contoh­nya menerusi pelaksanaan dasar-dasar di Kelantan.

“Beberapa dasar utama di ne­geri ini telah diadaptasi oleh Kerajaan Persekutuan sendiri dan kita akan tawarkan penambahbaikan untuk menarik pengundi pada PRU-14,” katanya.

Utusan
 
Copyright © 2014 PenangKini.