BREAKING NEWS

Friday, 30 March 2018

Penduduk bantah bau busuk dari Ladang Babi di Jawi




Penduduk di sekitar daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang menderita dan tidak selesa kerana terpaksa menghidu bau busuk dari ladang ternakan babi, ayam dan itik yang terletak hanya kira-kira 100 meter dari kediaman mereka.
Situasi itu cukup memeritkan bagi mereka yang berada di sekitar ladang ternakan Valdor yang berhampiran dengan Jambatan Pulau Pinang kedua. Kebanyakan ladang ternakan itu beroperasi sejak tahun 60-an lagi.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Jack Chew berkata, beliau dan keluarganya terpaksa menghidu busuk dari ladang-ladang itu setiap hari sehingga tidak ada selera untuk makan.
“Ladang ternakan di sebelah sana, setiap hari kami hidu bau busuk.
“Apabila nak makan, bau itu muncul sehingga tiada selera. Ia juga punca kehadiran banyak lalat, ia tidak baik daripada aspek kebersihan,” kata beliau.
Manakala, seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai S. Sargunan juga turut mengalami nasib yang sama, berkata tingkap rumah beliau perlu sentiasa ditutup kerana jika tidak pasti lalat akan masuk.
Tahun lalu, kerajaan negeri telah mengenal pasti tanah seluas 1,088 hektar untuk ladang Valdor. Peruntukan tanah lebih luas membolehkan penternak membina sistem rawatan sisa buangan dengan betul serta sistematik, namun ia tidak diendahkan oleh para penternak.
Sebelum ini, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, Enakmen Penternakan Babi 2016 tidak dapat dikuatkuasakan kerana kandungan peraturan perlesenan secara terperinci masih belum diluluskan.
Berdasarkan tinjauan di lokasi berkenaan juga menunjukkan berlakunya pencemaran air di kawasan sekitar dipercayai berpunca daripada ladang sekitar.
“Lihatlah betapa kotornya air sungai dan ia berbau busuk. Seseorang perlu melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini,” kata S. Sargunan.
Sebelum ini, penduduk Kampung Kepala Gajah pun turut mengalami perkara yang sama kerana bukan sahaja terpaksa menghidu bau busuk setiap hari, malah kumbahan air najis babi turut melimpah ke rumah penduduk apabila berlaku banjir kilat.
Penduduk sekitar mendakwa, operasi ladang ternakan babi yang berdekatan dari situ menyebabkan kawasan sekitar perkampungan itu mengalami pencemaran bau yang amat serius terutamanya selepas waktu petang.
Mereka juga menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan sewajarnya segera bagi mengatasi masalah berkenaan.
Penduduk juga mendakwa masalah itu bukan sahaja menyusahkan penduduk menjalani kehidupan harian, tetapi dikhuatiri akan memberi ancaman terhadap kesihatan dalam jangka masa panjang. 
 
Copyright © 2014 PenangKini.