BREAKING NEWS

Monday, 5 March 2018

Polis Pulau Pinang rampas 540 kilogram ganja 

Butterworth: Polis Pulau Pinang rampas lebih setengah tan (540 kilogram) ganja bernilai lebih RM1.7 juta hasil penahanan seorang lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Kepala Batas kelmarin dan semalam.

  Dalam serbuan jam 10 kelmarin itu, polis yang menerima maklumat risikan memeriksa sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu lelaki berusia 47 tahun berkenaan di Jalan Bertam Pertama, Kepala Batas dan menemui satu guni berisi 10 bungkusan plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dengan anggaran berat 10.025 kilogram bernilai RM 30,900.

  Sumber berkata, suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan hasil penahanan itu polis kemudian  menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Paya Keladi Masjid, dekat sini jam 12.30 tengah malam kelmarin sebelum menemui satu tong oren bertutup dan satu plastik oren yang mengandungi 55 bungkusan plastik lutsinar setiap satu berisi ganja dengan anggaran berat 10.006 kg.

  Katanya, serbuan di rumah berkenaan juga menemui kotak kertas dalam keadaan tertutup yang mengandungi 17 peket plastik lutsinar setiap satu berisi bahan disyaki dadah heroin dan satu bekas polistrin mengandungi peket plastik lutsinar mengandungi tujuh peket plastik dengan setiap satu berisi syabu.

  Menurutnya, dalam serbuan kedua itu, polis menganggarkan dadah ganja, heroin dan syabu yang dirampas bernilai RM 143,046.

  "Hasil soal siasat ke atas suspek juga, polis kemudian melakukan serbuan ketiga pada jam 7 pagi semalam di sebuah pondok berdekatan rumah itu.

  "Hasilnya di bahagian bawah lantainya polis menjumpai kotak kertas berisi tumbuhan kering disyaki ganja, 21 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan mampat disyaki ganja dan dua guni dengan setiap satunya berisi 22 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi ketulan mampat ganja.

  "Pemeriksaan lanjut di situ juga menemui 10 lagi guni dengan setiap satu daripadanya berisi 44 bungkusan plastik lutsinar yang mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja," katanya.

  Menurutnya, kesemua dadah yang ditemui di pondok itu dianggarkan seberat 520 kilogram dan bernilai RM1.6 juta.

  Katanya, susulan rampasan itu, pihaknya percaya dapat melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja di negeri ini dan yakin dapat memburu saki baki sindiket lain.

  Sumber berkata, satu sidang media khas berkenaan rampasan itu juga berkenaan juga akan diadakan esok oleh Ketua Polis negeri, Datuk A Thaiveegan.

Kredit : Harian Metro
 
Copyright © 2014 PenangKini.