BREAKING NEWS

Wednesday, 14 March 2018

PPBM belum isytihar harta

SUBANG JAYA: Belum ada calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengisytiharkan harta melalui akuan bersumpah seperti disarankan badan pengkaji bebas, Invoke Malaysia.

Pengerusi Invoke Malaysia, Rafizi Ramli, berkata setakat ini hanya 103 individu daripada PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) yang menyatakan persetujuan untuk berbuat demikian.

"Masa saya bentangkan (cadangan pengisytiharan harta) kepada kepemimpinan PPBM, memang mereka menyatakan kena balik (rujuk kepada parti) untuk buat keputusan terlebih dahulu.

"Memang tiada sesiapa daripada PPBM yang membuat keputusan untuk isytihar harta," katanya ketika ditemui pada majlis Ikrar Khidmat Rakyat dan Pengisytiharan Harta di sini, malam ini.

Turut hadir, Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR, berkata tiada paksaan untuk kedua-dua parti berkenaan mengisytiharkan harta terutama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Pengisytiharan harta ini hanya kepada mereka yang sukarela dan Invoke akan membantu mereka yang mengisytihar dari segi berkempen ketika pilihan raya nanti," katanya. BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.