BREAKING NEWS

Sunday, 4 March 2018

#ProjekTerowongDasarLautPulauPinang SPRM Buka Kertas Siasatan Berasingan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan menjalankan siasatan berasingan bagi projek terowong dasar laut dan dua individu yang didakwa menerima wang suapan untuk menutup siasatan ke atas projek mega itu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata siasatan ke atas dua individu yang dikatakan menerima wang bernilai RM22 juta itu tidak berkait sama sekali dengan siasatan utama projek terowong dasar laut.
Selain itu, katanya, siasatan ke atas kedua-dua individu, masing-masing ahli perniagaan bergelar Datuk Seri dan Datuk yang ditahan reman itu akan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan.
Semalam, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk direman selama empat hari di Mahkamah Majistret Putrajaya, bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM3 juta dipercayai bagi menutup siasatan kes projek mega terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.
Suspek didakwa menerima wang bernilai RM3 juta daripada syarikat pembinaan utama projek berkenaan, menerusi empat transaksi pada tahun lalu, selepas mendakwa mampu 'menyelesaikan' siasatan dijalankan SPRM.
Sehingga minggu lalu, SPRM sudah merakam percakapan 127 saksi bagi membantu siasatan projek yang akan menghubungkan persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Butterworth dengan ia dijangka dibina pada 2023.

Buletin Utama
 
Copyright © 2014 PenangKini.