BREAKING NEWS

Thursday, 8 March 2018

#PRU14 BN perlukan 14 kerusi lagi untuk perubahan berkesan - Zahid Hamidi

Barisan Nasional (BN) perlukan 14 kerusi lagi pada pilihan raya umum akan datang bagi mendapatkan mandat yang lebih besar untuk melakukan perubahan berkesan, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Antara perubahan berkesan yang boleh dilakukan dengan majoriti 2/3 kerusi ialah pindaan Perlembagaan Persekutuan, kata timbalan perdana menteri.

Zahid bagaimanapun tidak memaklumkan pindaan apa yang diinginkan, cuma berkata Barisan Nasional mahu melakukan perubahan selepas 2 kali “terhentak” pada 2 pilihan raya umum sebelum ini.

“Kita perlu suara 2/3 majoriti kerana kita mahu mandat yang lebih kuat…kerana untuk meminda perlembagaan umpamanya perlu mandat yang besar.

“Banyak perkara-perkara berkaitan perlembagaan kita dapat lakukan. Jangan kita terhentak di dinding untuk kali ke-3,” katanya ketika berucap di satu majlis di Kementerian Dalam Negeri hari ini.

Pada pilihan raya umum kali ini Zahid menyeru semua pihak untuk melihat ke depan dan membuka “buku baru”.

“Dalam peristiwa hari besar terdahulu, 2 kali sebelum ini, tutuplah ‘buku lama’, buka ‘buku baru’ kerana kita mahu turut menyumbang untuk memperkukuhkan kerajaan dengan lebih suara di Dewan Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerap menekankan keseluruhan perkhidmatan awam harus dipertahankan daripada pihak yang mahu mengurangkan jumlah penjawat awam.

“Saya yang membantu beliau berada di belakang untuk memegang terus dan tegas dengan prinsip beliau mempertahankan perkhidmatan awam,” tegasnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.