BREAKING NEWS

Wednesday, 21 March 2018

Putrajaya tak beri layanan istimewa kepada delegasi Israel - DS Reezal Merican

Kementerian Luar tidak menyambut ketibaan delegasi Israel ke Malaysia dan tiada anggota keselamatan diarah mengiringi rombongan itu, kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Timbalan menteri luar itu berkata, delegasi Israel ialah satu-satunya rombongan yang tidak mendapat layanan istimewa ketika menghadiri Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) yang diadakan di ibu negara, pada 7 hingga 13 Februari lalu.

“Ketika dia sampai, dia merupakan satu-satunya pegawai yang tidak disambut oleh mana-mana pegawai dari Kementerian Luar mahupun polis tidak berikan iringan keselamatan.

“Itu adalah satu-satunya. Kita hanya serahkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana dia merupakan perwakilan yang dijemput oleh PBB,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kehadiran bekas timbalan duta Israel ke PBB, David Roet dan delegasi rasmi negara itu ke WUF9 bulan lalu, mencetuskan kontroversi dan mengundang kritikan pembangkang.

Reezal menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kenapa kerajaan tidak memohon PBB menghalang kehadiran delegasi Israel.

“Adakah kerajaan Malaysia memohon kepada PBB agar kecualikan Israel dalam forum itu bagi menegaskan pendirian kerajaan dan rakyat Malaysia yang menentang dasar penempatan haram Israel?” soal Azizah.

Reezal turut menyangkal dakwaan Putrajaya menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dalam diam dan
status Malaysia-Israel tidak berubah.

“Delegasi Israel berdasarkan jemputan (PBB) dan (tiada kaitan) dengan kerajaan Malaysia, tidak timbul isu Malaysia jalin hubungan dengan Israel secara senyap.

“Status Malaysia dan Israel tidak akan berubah. Sehubungan itu, kehadiran peserta Israel tidak wajar dilihat sebagai usaha Malaysia akan adakan hubungan diplomatik dengan Israel.”

Pada 15 Februari lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan Putrajaya mengundang diplomat Israel ke WUF9.

Katanya, surat jemputan kepada Israel ditandatangani pengarah eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat), selaras Perjanjian Negara Tuan Rumah yang ditandatangani organisasi itu dan Malaysia.
 
Copyright © 2014 PenangKini.