BREAKING NEWS

Thursday, 15 March 2018

Ringgit akan meningkat ke RM3.80 berbanding dolar AS - Najib Razak

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin ringgit akan meningkat ke paras RM3.80 berbanding dolar AS dalam jangka masa terdekat ini.

Beliau berkata keyakinan tersebut susulan petunjuk positif daripada pencapaian semasa ekonomi negara serta nilai eksport negara melebihi RM80 bilion pada suku pertama tahun ini.

“Nilai mata wang kita semalam turun sikit kepada RM3.90 daripada RM3.89. Saya yakin insyaAllah dalam masa terdekat mungkin akan naik kepada RM3.80.

“Dari segi nilai mata wang, kita antara ‘best performance currency’ (mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik). Sebab beberapa bulan lalu, ringgit kita berada di paras RM4.49. Tetapi lepas ini akan jadi RM3.80 tidak lama lagi,” katanya semasa berucap pada Program Bajet 2018 Bersama Rakyat – Penjawat Awam, di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Tanjung Rambutan hari ini.



Acara tersebut merupakan edisi ke-4 Program Bajet 2018 Perdana Menteri Bersama Rakyat-Penjawat Awam bagi berkongsi kisah kejayaan negara dan pelbagai polisi kerajaan yang sudah dan akan dilakukan.

Najib juga berkata berkata penarafan 3 badan antarabangsa iaitu Fitch, Moodys dan Standard & Poors terhadap keupayaan pentadbiran kerajaan baru-baru ini disifatkan “bukan calang-calang pengiktirafan”.

Jelasnya, ketiga-tiga badan antarabangsa tersebut telah datang sendiri ke negara ini untuk mengkaji secara mendalam dari segi fakta dan angka sebelum memberi pengiktirafan kategori A kepada Malaysia.

“Negara kita (diberi penarafan) A-, Singapura mungkin tinggi sikit tapi kita dalam kelompok A. Itali (pula) B (penarafan), Greece lagi teruk, Rusia B. Jadi kalau orang kata kita akan bankrap, ikut hukum akal kumpulan B akan bankrap dulu. Bagaimana A boleh bankrap dulu daripada B?.

“Masa kita lalui Asian Financial Crisis 1997 (Krisis Kewangan Asia 1997), masa itu rizab kita AS$20 bilion, masa itu tidak bangkit cerita bankrap. Sekarang AS$103 bilion rizab negara (jadi) rizab hari ini sudah 5 kali ganda,” katanya.

Najib juga berkata nilai pinjaman negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut menguncup ketika ini daripada 54 peratus kepada 50.8 peratus.

Pada 9.00 pagi ini, ringgit berada pada paras 3.9050/9100 berbanding dolar AS daripada 3.9040/9080 sewaktu ditutup pada Rabu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.