BREAKING NEWS

Monday, 19 March 2018

‘Saya akan berhenti sebelum umur 93 tahun’ - Zahid Hamidi

SERDANG: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mungkin menyindir Tun Dr Mahathir Mohamad tentang bertanding pilihan raya di usia tua.

Beliau tidak menamakan Dr Mahathir dalam ucapannya, namun Ahli Parlimen Bagan Datok itu berkata dia akan berhenti menjadi wakil rakyat sebelum usia 93 tahun, kebetulan usia Dr Mahathir tahun ini.

Dr Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan dan dikatakan bertanding di Parlimen Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya pada pilihan raya umum ke-14.

“Insya Allah saya akan berhenti sebelum umur saya 93 tahun. Cukup lah, bagi pada anak-anak Bagan Datok lain sebab saya menyediakan pelapis kedua dan pelapis ketiga pimpinan politik Bagan Datok. Saya tak mahu menongkat ke langit,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Transformasi Nasional 2050 (TN50) peringkat Bagan Datok di Taman Ekspo Pertanian Malaysia.

Pada satu sidang media selepas ucapannya, Zahid menjelaskan perkara utama bukan menyerahkan kerusi pada individu tetapi meletakkan kemudahan dan prasarana untuk kesinambungan khidmat wakil rakyat.

“Projek-projek bukan untuk saya sebagai individu tetapi untuk siapa sahaja yang akan mewakili BN sebagai Ahli Parlimen dan Adun,” katanya.

Mengulas isu lain, Zahid berkata beliau sudah berbincang dengan kerajaan Indonesia mengenai cadangan membina terowong dasar laut dari Bagan Datok ke Sumatera.

Kos pembinaan mungkin menjangkau lebih AS$20 bilion dan perancangan fizikal projek itu sudah mendapat “kelulusan dasar”.

“Namun, kita akan aju kepada Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA). Sebab ia melibatkan anggota Asean, ianya masih memerlukan beberapa tatacara yang harus diikuti kerana kita mahu kelulusan penuh daripada kerajaan Malaysia dan Indonesia, Perak dan wilayah di Sumatera.”

Beliau berkata terowong itu nanti mampu menarik pelancong dari Indonesia ke Malaysia melalui Bagan Datok.

“Pelancong bukan pekerja, bukan pembantu rumah,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.