BREAKING NEWS

Wednesday, 14 March 2018

Setiap tahun, 3,000 penagih dadah baru di Pulau Pinang

BUTTERWORTH: Sejumlah 3,000 penagih dadah baharu di kesan di Pulau Pinang setiap tahun dengan 80% daripadanya adalah remaja berusia 20 tahun ke bawah, kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan.

Beliau berkata statistik yang diperoleh hasil ujian saringan air kencing oleh polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu amat membimbangkan.

“Kami memandang serius perkara itu dan tindakan segera diambil dengan menggerakkan program yang sepatutnya… semakin ramai remaja termasuk pelajar sekolah menjadi penagih dadah sejak usia muda,” katanya selepas melawat Sekolah Tunas Bakti Teluk Air Tawar semalam.

Turut hadir pengetua sekolah itu, Mohd Shabri Othman. Sekolah itu kini menempatkan 109 pelajar lelaki.

Sementara itu, Thaiveegan berkata polis masih mengesan 3 pelajar Sekolah Tunas Bakti Teluk Air Tawar yang melarikan diri awal pagi Ahad lepas dan percaya mereka yang berusia 17 hingga 18 tahun itu masih berada di sekitar negeri ini.

Hasil pemeriksaan terdapat kesan kopak pada pintu asrama dan mereka dipercayai meloloskan diri melalui pintu kedua berhampiran padang yang tidak berkunci.

 
Copyright © 2014 PenangKini.