BREAKING NEWS

Tuesday, 6 March 2018

Skandal #ProjekTerowongDasarLautPulauPinang Azeez Beri Lim Guan Eng Empat Hari Untuk Mohon Maaf



Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diberi tempoh empat hari untuk menarik balik
kenyataan fitnah mengaitkan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim terlibat menerima rasuah sebanyak RM3 juta daripada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling juga menuntut Guan Eng membersihkan nama beliau menerusi permohonan maaf secara terbuka di semua media arus perdana berdasarkan kontraktor terowong dasar laut itu telah menafikan beliau terlibat.

“Saya beri beliau empat hari untuk meminta maaf menarik balik dan meminta maaf secara terbuka dalam semua media perdana serta saya minta beliau untuk tidak mengulangi kata-kata fitnah terhadap diri saya.

“Saya mohon beliau di mana dapat maklumat berkaitan dengan surat peguam Zenith pada 23 Februari lalu, sebelum saya terima surat tuntutan itu, mereka sudah menularkan perkara tersebut,” katanya pada sidang media di bilik media Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas laporan TV3 malam semalam mendedahkan Guan Eng memaparkan wajah Ahli Parlimen Baling itu kepada pihak media dengan mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menahan beliau mengenai perkara itu.

Guan Eng juga mendakwa kegagalan SPRM menahan Abdul Azeez disebabkan beliau merupakan seorang Ahli Parlimen UMNO dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Abdul Azeez menegaskan, sekiranya Guan Eng masih berdegil dengan tidak menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, beliau tidak teragak-agak untuk meneruskan saman fitnah ke atas Ahli Parlimen Bagan itu.

“Saya beri empat hari tempoh, kalau tidak saya akan teruskan saman fitnah pada minggu hadapan.

“Ini jelas, perkara ini bukan bermain dengan Azeez Rahim, ini adalah kerana institusi Tabung Haji dan juga UMNO.

“Jangan kaitkan parti keramat UMNO dan institusi Tabung Haji sebab kita ada lebih 9 juta pendeposit, saya ada lebih kurang 3 juta ahli UMNO, mereka semua nak tahu kenapa saya difitnah, kenapa UMNO dan TH ditarik dalam perkara tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Azeez membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Shah Alam pada Jumaat lepas berhubung sepucuk surat tuntutan daripada Zenith mendakwa beliau telah menerima wang sogokan berjumlah RM3 juta.

Jumlah berkenaan didakwa dibayar Zenith kepada Abdul Azeez dan seorang ahli perniagaan, masing-masing berjumlah RM3 juta dan RM19 juta sebagai khidmat rundingan pengurusan risiko dan pematuhan peraturan berhubung projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer.

 
Copyright © 2014 PenangKini.