BREAKING NEWS

Monday, 12 March 2018

Skandal #ProjekTerowongDasarLautPulauPinang DS Abdul Azeez Rahim Serah Notis Saman Kepada Guan Eng

PULAU PINANG – Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menerusi peguamnya hari ini menyerahkan notis tindakan undang-undang kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng berikutan fitnah terhadap beliau berkait kes rasuah membabitkan projek terowong dasar laut.

Peguam Abdul Azeez, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, notis undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi di sini Jumaat lalu manakala tarikh pengurusan kes ditetapkan 9 April ini.

Menurut beliau, Guan Eng kini mempunyai tempoh 14 hari bagi memberi maklum balas kepada notis tuntutan saman itu termasuk untuk membela diri.

“Notis tuntutan saman ini adalah berhubung kenyataan-kenyataan fitnah Guan Eng terhadap Abdul Azeez yang dibuat di dua lokasi iaitu ketika sidang akhbar beliau pada 28 Februari lalu serta ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Penang Development Corporation pada 1 Mac lalu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan notis undang-undang itu di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini pagi ini.

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebelum ini menjadi mangsa fitnah selepas namanya dikaitkan sebagai individu yang menerima rasuah berjumlah RM3 juta.

Wang itu merupakan sebahagian daripada RM22 juta yang turut dibayar kepada seorang lagi ahli perniagaan bagi menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Bagaimanapun, pemaju projek itu, Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith) kemudiannya menarik balik tuntutan dan memohon maaf kepada Abdul Azeez serta mendakwa nama beliau digunakan pihak tidak bertanggungjawab dalam isu terbabit. – UTUSAN ONLINE
 
Copyright © 2014 PenangKini.