BREAKING NEWS

Sunday, 18 March 2018

Sosma, Poca berkesan lawan keganasan - Najib Razak


SYDNEY: Undang-undang pencegahan di Malaysia senjata ampuh memerangi keganasan selain mencegah kemungkinan berlakunya keganasan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata negara memerlukan kuasa undang-undang tertentu seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma, Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang keganasan.

“Tidak ada maknanya kita bertindak selepas sesuatu kejadian berlaku. Ini model yang kita guna pakai di Malaysia dan sangat berkesan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berada di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia 2018, yang antara lain membincangkan hala tuju masa depan dan kerjasama antara Asean dan Australia.

Najib berkata, walaupun pasukan polis dan pasukan keselamatan gigih mengesan dan memberkas pihak yang mungkin mempunyai kaitan dengan ektremisme ganas, negara masih memerlukan undang-undang bersifat pencegahan.

“Ini kita telah buktikan…bila ada kuasa undang-undang yang boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang kemungkinan besar lakukan jenayah seperti keganasan, maka tindakan itu sangat berkesan.

“Setakat ini tak ada seorang pun yang terkorban dalam kejadian keganasan di Malaysia. Sebagai kerajaan, kita beriltizam untuk pastikan keadaan ini akan berterusan,” kata beliau.



Najib merupakan wakil tunggal Asean yang dijemput berucap di majlis penutup Persidangan Pencegahan Keganasan, yang merupakan sebahagian daripada sidang kemuncak itu, bagi berkongsi pengalaman Malaysia menangani keganasan.

Beliau mengetengahkan model yang diguna pakai Malaysia dalam mengekang keganasan, yang setakat ini berhasil menjamin keselamatan negara.

“Kita telah jadikan Malaysia selamat untuk rakyat Malaysia dan rakyat asing, dan saya katakan sebab kita ada kuasa perundangan tertentu,” katanya.

Perdana menteri dalam ucapannya berkata, beliau turut membangkitkan mengenai “medan perang baharu” dalam media sosial bagi memastikan kemampuan negara mengetengahkan kandungan yang lebih menyakinkan dan berkesan untuk mempengaruhi khalayak, terutamanya golongan muda.

“Ini tentang kenapa perlu tolak ideologi IS dan kefahaman ekstrem dan mereka hendaklah hayati apa Islam sebenar.

“Usaha kita dalam aspek ini adalah “the new battleground” yang perlu kita beri tumpuan lebih,” kata beliau.

Pada majlis penutupan persidangan itu, para pemimpin menyaksikan upacara menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Asean dan Australia berhubung Kerjasama Antarabangsa Memerangi Keganasan.

Terdahulu, Najib dan para pemimpin Asean lain diberi sambutan rasmi oleh Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull sempena sidang kemuncak itu.

Mereka kemudian menghadiri sesi jamuan teh Rancangan Colombo Baharu yang menyaksikan semua ketua negara dan kerajaan Asean mengadakan perjumpaan dengan pelajar Australia yang melanjutkan pengajian di bawah rancangan itu.

Sebelum sidang kemuncak bermula, Najib mengadakan pertemuan dua hala dengan Turnbull bagi membincangkan pelbagai bidang termasuk ekonomi, pertahanan, keselamatan, pelancongan dan pendidikan.

Najib berkata, hubungan perdagangan menunjukkan peningkatan dan berharap dapat diteruskan dalam aspek pelaburan, terutama menarik pelabur Australia ke Malaysia memandangkan ketika ini nilai pelaburan Malaysia di Australia lebih banyak berbanding pelaburan Australia di Malaysia.

“Kami juga bincang isu serantau dan antarabangsa seperti situasi di semenanjung Korea, soal Rohingya, selatan Laut China Selatan dan selatan Filipina.

Juga ditekankan soal memerangi keganasan dan perdana menteri Australia berharap perkara ini dapat dipertingkatkan terutama dalam aspek perkongsian risikan.

“Dalam soal Rohingya, beliau turut berasa bimbang…beliau tidak melihatnya sebagai isu umat Islam atau isu kemanusiaan semata-mata.

“Kami juga senada tentang potensi kemungkinan IS merekrut penyokong daripada kalangan pelarian dan mereka yang ditindas. Apa yang membimbangkan sekarang adalah elemen keselamatan yang boleh menjadi ancaman pada masa depan,” kata perdana menteri.
 
Copyright © 2014 PenangKini.