BREAKING NEWS

Monday, 26 March 2018

Syarat jadi pengundi Pulau Pinang untuk beli rumah pelik - PM Najib

Syarat jadi pengundi Pulau Pinang untuk beli rumah pelik - PM Najib
DATUK Seri Najib Tun Razak menjelaskan kerajaan tidak bercadang untuk menambah syarat tambahan seperti dilakukan kerajaan negeri Selangor yang hanya akan menyebabkan kenaikan harga rumah mampu milik. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan syarat menjadi pengundi di Pulau Pinang sebelum dapat membeli rumah di negeri di bawah pentadbiran pembangkang sebagai suatu yang pelik.

Jelasnya, perkara itu adalah antara syarat tambahan yang dikenakan negeri di bawah pakatan pembangkang yang luar dari kebiasaan.

"Di Pulau Pinang ada syarat yang pelik sikit iaitu mesti jadi pengundi di Pulau Pinang kalau nak beli rumah. Ini pun syarat yang agak luar biasa yang dikenakan oleh kerajaan Pulau Pinang," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melawat Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional anjuran Projek Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tambahnya, sehingga kini projek perumahan mampu milik turut diperluaskan di negeri pakatan pembangkang terutama di Selangor dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun katanya, syarat tambahan yang dikenakan kerajaan negeri terutama di Selangor telah menyebabkan peningkatan harga unit rumah PR1MA di negeri terbabit.

"Jadi bila ada syarat tambahan dikenakan negeri Selangor, maka kos jual PR1MA terpaksa ditambah. Apabila ada syarat tambahan, maknanya ada kos tambahan. Ini juga dialami oleh semua pemaju di negeri Selangor.

"Selain di Pulau Pinang, ada pelbagai projek dalam pelbagai peringkat pelaksanaan yang antaranya di Permatang Pauh, sudah pasti terlaksana 10 peratus. Sebanyak 1,017 unit, Batu Feringgi 1,248 unit, Bukit Gelugor 2,387 unit," katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan tidak bercadang untuk menambah syarat tambahan seperti dilakukan Kerajaan Negeri Selangor yang hanya akan menyebabkan kenaikan harga rumah mampu milik.

"Jika kita diberi kepercayaan untuk pimpin Selangor, kita akan kaji semula syarat tambahan yang dikenakan kerajaan negeri. Bukan sahaja PR1MA, tetapi juga untuk pemaju-pemaju rumah. Semua telah menyuarakan rasa tidak puashati terhadap syarat-syarat tambahan yang dikenakan kerajaan negeri Selangor yang telah menambahkan kos," ujarnya.

Apa yang penting katanya, adalah kenaikan harga rumah mampu milik hanya akan membebankan rakyat.
 
Copyright © 2014 PenangKini.