BREAKING NEWS

Thursday, 22 March 2018

Tabung Haji bayar Zakat Sebanyak RM17.1 Juta Kepada Lembaga Zakat Selangor



KLANG, 22 Mac 2018 – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membayar zakat berjumlah RM17,132,475.58 bagi tahun kewangan berakhir 2017 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu majlis ringkas di Istana Alam Shah, Klang, Selangor.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan Selangor telah berkenan untuk menerima pembayaran zakat ini yang dipersembahkan oleh YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengerusi TH. Pembayaran zakat bagi negeri Selangor ini mencatatkan peningkatan sebanyak 13.23% berbanding RM15,130,379.28 (2016).

“TH sentiasa mengutamakan aspek kelestarian ekonomi ummah dan pembayaran zakat bagi meningkatkan kebajikan masyarakat dan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi golongan asnaf. Pembayaran zakat kepada Pusat Pungutan Zakat di seluruh negara dilakukan agar wang tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya ke arah kemampanan program-program zakat yang mensasarkan golongan asnaf miskin yang layak dan dilaksanakan oleh Pusat Pungutan Zakat di setiap negeri,” kata YB Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim.

Jumlah keseluruhan bayaran zakat TH 2017 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 12.14% (RM67.6 juta) berbanding tahun sebelumnya, RM60.3 juta (2016). Dengan kenaikan ini, TH akan menggiatkan lagi program pengagihan zakat secara terus kepada asnaf-asnaf di seluruh negara melalui program-program tanggungjawab sosial korporatnya. Program-program ini diharapkan dapat memberi manfaat secara terus kepada lebih ramai golongan sasar.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah YBhg Tan Sri Dato' Sri Apandi Hj Ali, ALP TH , YAM Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Pengerusi LZS; Sahibus Samahah Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid, Mufti Negeri Selangor; YBhg. Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Pengurus Besar Kanan (Haji) TH, serta pegawai-pegawai LZS dan TH.

 
Copyright © 2014 PenangKini.