BREAKING NEWS

Thursday, 1 March 2018

Terowong: Cheng Guan lega dakwaan sahih,perlu siasat pemimpin DAP


Selepas tiga tahun melalui pelbagai halangan kerana membangkitkan keraguan mengenai projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion akhirnya ‘suara’ Huan Cheng Guan kini ternyata ada kesahihannya.
Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia itu lega apabila penahanan seorang seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri kerana disyaki menerima rasuah RM19 juta dan gagal dalam percubaannya untuk menghentikan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan terdapat kemungkinan berlaku unsur salah laku dalam projek yang didakwanya penuh misteri itu.
Susulan tangkapan suspek terbaharu itu, beliau mendesak SPRM mengalihkan siasatan ke arah kepimpinan tertinggi kerajaan negeri itu dan pemimpin DAP bagi merungkai misteri sebenar disebalik projek mega itu.
“Kini, saya mahu supaya SPRM mempercepatkan siasatan mereka ke peringkat tertinggi melibatkan kerajaan negeri dan pemimpin politik DAP tanpa kompromi untuk menentukan sama ada wujud penyalahgunaan kuasa dan unsur rasuah.
“Biarlah orang ramai mengetahui kebenaranya dan sedar bahawa mereka yang selalu bising mengenai rasuah adalah orang yang berkemungkinan bersalah dan mengamalkan rasuah dalam kalangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Cheng Guan, sebelum ini usaha pembongkarannya dalam isu terowong berkenaan menyebabkann diugut dengan saman dan ugutan bunuh.
“Orang-orang inilah yang tidak berpuas hati apabila saya telah membuat banyak laporan mengenai projek berkenaan kepada SPRM sebelum ini untuk membuka siasatan rasuah dan salahlaku.
“Namun, saya kini boleh mendabik dada memberitahu pencaci dan macai pembangkang yang mengutuk aku selama ini bahawa segala aduan saya terbukti berasas dan benar dengan tangkapan suspek terbaru.
“SPRM juga dibuktikan relevan dan telus apabila penangkapan suspek berkenaan membuktikan bahawa siasatan mereka terhadap projek mega berkenaan mempunyai asas dan merit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Cheng Guan, tindakan SPRM itu bukan satu penganiayaan politik seperti yang didakwa oleh penyokong parti DAP dan kepimpinan kerajaan Pulau Pinang.
Justeru katanya, sangkaan dan segala penemuannya mengenai projek terowong dasar laut melibatkan wang rakyat Pulau Pinang yang mencetuskan keraguan selama ini kini terbukti berasas dan mula merungkai jawapan.
“Saya bangga dengan SPRM yang menjalankan tugas mereka dengan penuh bertanggungjawab dan profesional tanpa rasa takut, gentar atau memihak mana-mana pihak,” tegasnya.
Hari ini SPRM telah mendakwa seorang suspek ke mahkamah Majistret Putrajaya dan berjaya mendapatkan reman selama enam hari untuk membantu siasatan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.