BREAKING NEWS

Thursday, 8 March 2018

Tunggu apa? Laksana had 2 penggal di Selangor, Pulau Pinang sekarang - Teh Yee Cheu




Pulau Pinang dan Selangor sepatutnya melaksanakan cadangan had 2 penggal dengan segera bagi membuktikan mereka ikhlas memastikan tadbir urus yang baik di negeri mereka, kata Adun Tanjung Bungah Teh Yee Cheu hari ini.

Teh berkata Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Selangor boleh mengadakan sesi khas untuk membuat undian ke atas usul untuk meluluskan had 2 penggal bagi jawatan ketua menteri dan menteri besar.

Beliau berkata walaupun pilihan raya umum semakin dekat, dewan-dewan berkenaan boleh meluluskan usul cadangan itu dan membahaskan perkara itu sebelum pembubaran.

Teh berkata sekiranya pilihan raya dipanggil ketika sidang sedang berjalan, perbahasan boleh diteruskan selepas pilihan raya selesai.

“Mengapa tunggu sehingga menang Putrajaya, sedangkan anda boleh memimpin melalui teladan dengan melaksanakan had penggal di negeri-negeri Pakatan Harapan?

“Melalui cara ini, anda boleh tunjukkan keikhlasan anda pada seluruh negara. Sekurang-kurangnya anda menunaikan sebahagian janji anda,” kata Teh.

Tentang dakwaan mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad akan hilang peluang menjadi perdana menteri jika had penggal dikuat kuasa dengan mengambil kira perkhidmatan lalu, Teh berkata pelaksanaan di peringkat negeri tidak akan menjejaskan pengerusi PH itu.

Ini kerana beliau berkemungkinan sekali bertanding sebagai Ahli Parlimen dan itu melibatkan pindaan pada Perlembagaan Persekutuan dan bukannya undang-undang tubuh negeri.

Awal hari ini, Timbalan Presiden PH Lim Guan Eng berkata had 2 penggal untuk perdana menteri, menteri besar dan ketua menteri tidak boleh mengambil kira perkhidmatan lalu kerana akan menghalang Dr Mahathir menjadi perdana menteri.

Teh lantang memperjuangkan had penggal pemimpin. Beliau cuba meminda undang-undang tubuh Pulau Pinang sebanyak 4 kali sejak 2013 agar seseorang hanya boleh berkhidmat sebagai ketua menteri untuk maksimum 2 penggal sahaja.

Bagaimanapun, semua cubaan beliau gagal dan kali terakhir dibuang atas sebab teknikal pada November.

Ketika ditanya perasaannya tentang keputusan PH mengenakan had penggal, Teh berasa gembira dan merasakan ia langkah ke arah yang betul.

Beliau berkata had 2 penggal bukan serangan peribadi terhadap mana-mana individu, cuma untuk membuka laluan kepada pemimpin-pemimpin muda.

Teh berkata ia juga akan membuka laluan kepada wanita menjadi ketua menteri atau menteri besar di Pulau Pinang dan Selangor.

“Ini akan memberikan peluang kepada semua pemimpin yang bercita-cita.”
 
Copyright © 2014 PenangKini.