BREAKING NEWS

Friday, 30 March 2018

Ubat busuk ladang babi

Pulau Pinang: Sengaja menyembunyikan kegiatan menghasilkan ubat-ubatan haram, tiruan dan berbahaya bersebelahan dengan lokasi kandang babi.
Bau busuk yang menusuk dihasilkan hampir 1,000 ekor babi diternak di kandang itu menyebabkan kawasan kilang berhampiran Kampung Selamat di Tasek Gelugor di sini, kurang disenangi penduduk sekaligus memastikan operasi sindiket itu tidak diganggu pihak berkuasa.
Bagaimanapun taktik itu dibongkar apabila sepasukan 80 pegawai Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Cawangan Penguatkuasa Farmasi ( CPF) Pulau PInang diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan Operasi BPF KKM, Adnan Salimin menyerbu kilang itu kira-kira jam 2 petang semalam. Serbuan turut dibantu pihak polis.
Difahamkan kegiatan sindiket yang menghasilkan ubat-ubatan haram dan tidak berdaftar di lokasi itu dikesan susulan risikan berterusan dilakukan pihak BPF sejak lebih setahun lalu.

ALAT dan mesin yang dirampas penguat kuasa dalam serbuan.
Jurucakap BPF berkata, kilang haram itu terletak kurang lima meter dari kandang babi dan dua kolam kumbahan najis haiwan itu yang menjadi punca bau busuk luar biasa menyelubungi kawasan berkenaan.
Menurutnya, hasil serbuan dilakukan, pihak BPF menemui mesin dan beratus kotak besar berisi ubat-ubatan haram disembunyikan di dalam kilang yang ditutup dengan kepingan zink itu.
"Siasatan mendapati kebanyakan ubat-ubatan haram dihasilkan itu adalah untuk pasaran tempatan selain dieksport ke Kemboja dan Vietnam.
"Rampasan membabitkan produk ubat-ubatan dicampur dengan kimia corticosteroid - dexamethasone secara haram khusus untuk menghilangkan sakit sendi, lenguh badan dan lutut.
"Malah hasil serbuan ini turut membongkar asal usul produk Air Ikan Haruan' dan Air Haruan Ajaib’ yang diharamkan KKM sejak sekian lama. Produk yang dicampurkan kimia steroid itu dikesan dihasilkan di kilang sama sebelum diedarkan ke seluruh negara.
"Kilang itu turut dikesan menyimpan ratusan ribu ubat papan mengandungi kimia steroid antaranya jenama Makjun Istimewa, Makjun Ajaib dan pelbagai pil menghilangkan sakit sendi.
"Malah siasatan turut menemui ubat sakit gigi palsu yang dihasilkan melalui kaedah penipuan terancang. Sindiket dikesan akan menghancurkan pil paracetamol sebelum diisi di dalam kapsul dan dijual sebagai ubat sakit gigi dengan jenama Cap Gaham.
"Selain itu turut dirampas pelbagai pil antibiotik, ubat tahan sakit dan ubat selsema tidak berdaftar. Semua ubat-ubatan haram itu dikesan diedarkan ke seluruh negara terutama ke kedai runcit, premis menjual ubat-ubatan tradisional dan toko jamu," katanya.
Difahamkan sepanjang operasi dilakukan, pegawai KKM terpaksa menggunakan topeng muka sepanjang masa berikutan bau busuk dari ladang dan kolam kumbahan babi bersebelahan.
“Hasil operasi yang turut disasarkan terhadap lima gudang dan tiga kedai ubat tradisional di negeri ini, pihak BPF berjaya merampas 253 jenis produk tidak berdaftar mengandungi racun berjadual dianggarkan bernilai lebih RM9 juta,” katanya.
Menurutnya, pengilang dan penjual produk haram ini boleh didakwa mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 kerana memiliki racun untuk tujuan jualan tanpa lesen sah dan Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.
“Jika sabit kesalahan katanya, boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Kejayaan operasi ini sekaligus diyakini dapat mematahkan kegiatan membekalkan ubat-ubatan haram dan berbahaya di pasaran tempatan yang dijalankan sejak sekian lama,” katanya.

-Sumber : Harian Metro
 
Copyright © 2014 PenangKini.