BREAKING NEWS

Monday, 12 March 2018

Umno atur strategi tangkis ejen media asing putar berita separuh benar

KUALA LUMPUR: Biro Penerangan Umno mengatur gerak kerja bagi menangani berita palsu dan memerangi persepsi disebarkan pembangkang menerusi media sosial dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui Bernama berkata, isu yang dihadapi biro itu bukan lagi isu stereotaip dan mudah diramalkan, oleh itu PRU14 yang disifatkan “ibu segala pilihan raya” itu perlu dikendalikan dengan cara tersendiri.

“Cabaran yang kita hadapi kini lebih kompleks, kita tidak boleh agak dari segi masa dan cerita yang nak direka. Kadang-kadang ada yang menggunakan sumber dari luar negara, agensi atau pihak yang seolah-olah berwibawa,” katanya.

Contohnya, kata beliau, ada portal berita yang kononnya tempatan, tetapi sebenarnya adalah ejen media antarabangsa berpangkalan di luar negara yang mempunyai niat dan agenda tersendiri.

“Mereka pakar dalam membuat berita palsu, mereka beli dan menyogok untuk dapatkan berita separuh benar dan kemudian mereka putar, mereka ini pengguna media peringkat tinggi yang mempunyai misi. Mereka ada misi tertentu dan bukan hanya satu media yang nak melaporkan berita semata-mata.”

Annuar berkata, ia bukan lagi permainan pada peringkat tempatan, malah sudah menjadi global dengan pihak berkepentingan bukan berada di depan mata dan kerajaan akan menjadi mangsa, sekiranya tidak mempunyai ketahanan serta kaedah sesuai menangkis perkara itu.


“Kita tidak boleh dedahkan apa yang kita buat, tetapi yang pasti kita tidak mahu rakyat terpedaya. Rakyat perlu dapat sumber sahih, walaupun ia mungkin lebih perlahan daripada berita palsu atau fitnah.

“Paling penting sumber sahih itu mesti diperoleh sebab sekarang ini membina persepsi sudah jadi strategi yang digunakan sepenuhnya oleh mereka yang nak jatuhkan kerajaan.”

Annuar yang mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada PRU14 berkata, antara kaedah digunakan pihaknya dalam menyebarkan maklumat dan penerangan ialah menerusi program jelajah “Perjuangan For All” serta program dalam talian “Anda Tanya, Kita Jawab” menerusi portal Umno.

“Di luar sana bermacam maklumat berlegar menerusi medium seperti Facebook (FB), Instagram dan Twitter. Kita memberi tumpuan bagaimana untuk menyampaikan maklumat betul kepada mereka ini.

“Bagaimanapun, kita tidak terlalu pesimistik. Di luar sana juga ada majoriti senyap yang bukan sahaja siang malam main FB dan kerjanya menyebarkan berita dan sebagainya.

“Mereka boleh fikir sendiri dan cari maklumat. Sekarang ramai yang dah faham, kalau dapat satu berita, mereka selidik untuk pastikan berita itu palsu atau benar, bukan dapat berita saja mudah terpedaya dan terus emosi. Kita anggap kebijaksanaan rakyat Malaysia berfikir itu adalah aset.”

Dengan persediaan hingga kini, beliau berkata, Umno dan BN menyasarkan kemenangan 2/3 majoriti pada PRU14.

“Sasaran kita nak menang semaksimum mungkin kerana kita nak membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

“Rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang kuat. Kalau kita pilih kerajaan lepas pilihan raya baru nak berbahagi jawatan PM, nak kongsi-kongsi kau 2 tahun aku 2 tahun, itu kita sengaja terjun (lubuk).”

Umno dan BN, katanya, sentiasa berusaha mengatasi persepsi, penipuan, kempen membenci dengan penuh kesabaran, justeru parti itu yakin rakyat akan membuat keputusan jujur semasa pilihan raya umum nanti.
 
Copyright © 2014 PenangKini.