BREAKING NEWS

Tuesday, 6 March 2018

Usaha “Kawtim” Dengan SPRM : Guan Eng Digesa Bercakap Secara Jujur


Ketua Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, berikutan tindakan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd memohon maaf dan menarik balik tuduhan rasuah ke atas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang maka ia seakan mengesahkan memang wujud usaha membayar individu tertentu bagi kerja-kerja rundingan secara tidak sah untuk menutup kepincangan projek tersebut.
Oleh itu jelas beliau, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng harus jujur menjelaskan perkara ini kepada rakyat, mengapa perlu ada rundingan secara tidak sah ini sekiranya projek tersebut telus.
“Mana mungkin Guan Eng tidak tahu perkara ini kerana ini adalah projek kerajaan negeri dan sudah pasti dia tahu segala perjalanan berkaitan projek terowong ini.
“Terlalu banyak perkara tidak betul yang sudah terbongkar dan rakyat khususnya di Pulau Pinang mahu mengetahui hal sebenar memandangkan kos projek ini adalah duit rakyat,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Selain itu beliau turut mendesak agar Guan Eng memohon maaf bukan sahaja kepada Azeez tetapi juga kepada SPRM kerana menuduh agensi tersebut mengamalkan sikap dwi standard apabila tidak menangkap Azeez.
Sebelum ini Zenith mendakwa telah membayar sejumlah RM22 juta kepada seorang ahli politik UMNO dan seorang ahli perniagaan untuk kerja-kerja rundingan.
Zenith dikatakan mengeluarkan surat tuntutan kepada Azeez dan seorang tokoh perniagaan yang tidak dinamakan kerana gagal menyempurnakan kerja-kerja rundingan itu, walaupun setelah dibayar RM3 juta dan RM19 juta masing-masing.
Azeez menafikan dirinya menerima wang berkenaan, manakala tokoh perniagaan itu ditahan di Putrajaya semalam.
Untuk rekod, projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.
Projek ini juga telah mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Pada 11 Januari lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng mengatakan tiada sebarang bayaran diberikan kepada pihak kontraktor dalam projek kontroversi terowong dasar laut RM6.34 bilion tetapi mungkin dia lupa iaitu pada 19 Mei 2017, Exco Pulau Pinang Lim Hock Seng ketika menjawab di dalam Sidang DUN berkata, RM209 juta sudah dibayar dalam bentuk tanah kepada kontraktor untuk kos laporan.
Pada 4 Mac 2013 pula, kerajaan Dap Pulau Pinang menafikan bahawa syarikat Konsortium Zenith BUCG yang dianugerahkan projek tersebut tidak bermodal – Untuk melaksanakan projek mega itu.
Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd adalah sebuah Special Purpose Vehicle (SPV) yang merupakan konsortium usahasama di antara syarikat kontraktor berpakaran dengan pemaju seperti berikut:-
Zenith Construction Sdn Bhd bersama China Railway Construction Corporation Ltd sebanyak 70% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.5 juta dan RM 4 bilion masing-masing; Beijing Urban Construction Group 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 541 juta; Sri Tinggi Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 3.7 juta; dan Juteras Sdn Bhd 10% ekuiti dengan modal berbayar sebanyak RM 1 juta.
Keseluruhan modal berbayar keempat-empat syarikat adalah RM4,549.2 juta yang memenuhi kriteria kerajaan negeri yang meletakkan modal berbayar minima RM381 juta. Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd mempunyai modal berbayar RM2 kerana ditubuhkan khas untuk ini (SPV).
Namun selepas empat tahun, SPV berkenaan masih belum melengkapkan laporan RM305 juta dan masih belum memulakan kerja pembinaan.
Laporan kebolehlaksanaan projek tersebut yang sepatutnya sudah siap masih tidak nampak bayang walaupun beratus-ratus juta telah dibayar kepada pihak kontraktor.
Kini, syarikat dari China, China Railway Construction Corporation Ltd. telah menarik diri dari projek ini dan ia diganti dengan syarikat fesyen bernama Voir, dengan saham sebanyak 13.21% turut terlibat di dalam konsortium baru ini. 38.9% sahamnya juga dimiliki di bawah nominasi yang dipegang oleh Kenanga Nominees.
Jumlah modal berbayar syarikat pemegang sahamnya sekarang berkurang menjadi RM70.5 juta berbanding RM4.5 bilion, 4 tahun lepas.
*Jumlah ini juga adalah lebih rendah dari minima (RM 381 juta) jumlah modal yang telah ditetapkan sendiri oleh Kerajaan ke atas pembida-pembida semasa proses RFP.
*RM70.5 juta nilai modal berbayar ini juga terlalu sedikit jika dibandingkan dengan jumlah RM220 juta yang telah dibayar oleh kerajaan Dap Pulau Pinang sebagai sebahagian bayaran untuk laporan RM305 juta. 
 
Copyright © 2014 PenangKini.