BREAKING NEWS

Wednesday, 14 March 2018

Usul persempadanan semula dijangka lulus majoriti mudah

PUTRAJAYA: Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal dibentang di Dewan Rakyat, dijangka diluluskan dengan sekurang-kurangnya majoriti mudah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usul berkenaan hanya memerlukan kelulusan Dewan Rakyat dan tidak perlu dibawa ke Dewan Negara.

Katanya, Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen ketika ini selepas kematian wakil rakyat dan hanya memerlukan majoriti mudah untuk menerima usul berkenaan.

"Saya yakin dapat memperoleh sekurang-kurangnya 111 undi atau lebih daripada 220 Ahli Parlimen yang ada sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

"Kami juga yakin Barisan Nasional (BN) akan dapat lebih daripada itu kerana kami ada 132 Ahli Parlimen," katanya berucap pada program 'Luncheon Talk' bersama Ketua Pengarang dan Pemegang Permit Penerbitan di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid; Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group Bhd, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Datuk Seri Azman Ujang.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebaik usul itu diluluskan, ia akan dibawa untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum diwartakan.

Katanya, Dewan Rakyat bersidang hingga 5 April manakala Dewan Negara mulai bersidang pada 16 April hingga 30 April.

"Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentang selepas titah Yang di-Pertuan Agong selesai dibahaskan dan beberapa urusan lain termasuk pembentangan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan.

"Itu saja yang saya boleh beritahu. Ini adalah maklumat rasmi yang kita ketahui, tarikh pembubaran saya tidak tahu, tarikh mengundi pun saya tidak tahu.

"Saya tidak berhasrat sentuh mengenai pilihan raya tetapi saya sudah baca pemikiran tuan-tuan," katanya.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan belum menetapkan tarikh membentangkan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya dan akan dibincang bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata, media cetak dan elektronik di Malaysia kini menghadapi gelombang tekanan daripada media bukan tradisional selain pendapatan iklan yang semakin berkurangan.

"Gelombang berkenaan bukan saja berlaku di Malaysia, sebaliknya fenomena di seluruh dunia.

"Kami di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedaya-upaya mahu kebebasan penulisan, penerbitan dan penyiaran bahan tidak terlalu terkongkong manakala garis panduan disesuaikan dengan perkembangan semasa.

"Kerajaan harus dianggap sebagai rakan kongsi, bukan pihak berkuasa yang terus memberi tekanan kepada industri," katanya.

Menerusi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, katanya, kementerian mempunyai kuasa menguatkuasakan undang-undang termasuk mengeluarkan surat amaran dan peringatan kepada media yang melanggar peraturan ditetapkan.

Tahun lalu, kata Timbalan Perdana Menteri, KDN mengeluarkan satu surat amaran keras, dua surat amaran terakhir, 14 surat teguran, 44 surat nasihat dan empat surat tunjuk kepada agensi media kerana melanggar peraturan ditetapkan akta berkenaan.
 
Copyright © 2014 PenangKini.