BREAKING NEWS

Friday, 23 March 2018

Vaksin pneumokokal dipertimbang masuk program imunisasi

GEORGE TOWN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat kajian bagi melihat sama ada terdapat keperluan mendesak untuk memasukkan vaksin pneumokokal (PnD) dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pihaknya akan membawa cadangan itu kepada Bahagian Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan dan jika kajian mendapati memang ada keperluan, KKM akan memasukkan ia dalam NIP.

“Setakat ini belum ada keperluan untuk memasukkan vaksin itu dalam NIP dan kami akan membuat kajian secara menyeluruh untuk melihat keperluan sebenar serta sama ada banyak kes membabitkan penyakit pneumokokal dan jika memang terbukti ia (vaksin PnD) diperlukan kementerian akan senaraikan dalam NIP.

“Ketika ini menerusi NIP, setiap kanak-kanak bermula bayi baru lahir akan menerima beberapa suntikan vaksin bagi mencegah 13 jenis penyakit berbahaya dan setiap tahun kerajaan pusat membelanjakan RM120 juta bagi program itu (NIP),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Terbuka Perumahan Polis Bayan Indah di Bayan Lepas hari ini.

Dewan yang dibina sejak 6 November lepas itu siap sepenuhnya pada Februari lalu membabitkan kos RM200,000. Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik.

Dr Hilmi yang juga ahli Parlimen Balik Pulau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi Perikatan Strategik Asia bagi Penyakit Pneumokokal (ASAP) Datuk Dr Zulkifli Ismail yang mahu vaksin PnD dimasukkan dalam NIP supaya lebih ramai orang mendapat keperluan penjagaan kesihatan asas dan mencegah kanak-kanak di bawah 2 tahun mengalami penyakit PnD.

Dr Zulkifli dilaporkan berkata sehingga hari ini, lebih 136 negara sudah memasukkan vaksin PnD dalam NIP mereka, manakala Malaysia adalah satu daripada 54 negara belum menyenaraikan vaksin PnD dalam jadual NIP.

Penyakit PnD merupakan penyakit disebabkan bakteria Streptococcus Pneumoniae, juga dikenali sebagai pneumokokus dan biasanya ditemui dalam saluran pernafasan kanak-kanak serta disebarkan melalui batuk atau bersin. Penyakit PnD juga boleh menjejaskan upaya seseorang kanak-kanak normal hingga mengalami terencat mental, pekak, lembam dan lumpuh.

Sementara itu, Dr Hilmi menasihati ibu bapa untuk memastikan setiap anak menerima imunisasi lengkap bagi mengelak dan melindungi kanak-kanak daripada jangkitan sebarang penyakit boleh dicegah vaksin.

“Orang ramai tidak perlu bimbang untuk memastikan anak-anak mereka menerima imunisasi kerana dapat mencegah kejadian penyakit berjangkit dan mencegah wabak yang serius malah semua vaksin yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan adalah halal,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.