BREAKING NEWS

Monday, 5 March 2018

Warisan Sejarah, Bahasa Kebangsaan Asas Jati Diri Rakyat - Agong


FW682263_KL29_050318_AGONG-scr.jpg

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berharap penghayatan warisan sejarah negara dan penguasaan bahasa kebangsaan diperkukuhkan sebagai asas jati diri rakyat di negara ini.
Baginda bertitah, ia membentuk perpaduan yang menjadi inti pati kepada keamanan serta kesejahteraan hidup rakyat, sekali gus menjamin kestabilan negara.
Sultan Muhammad V turut mengalu-alukan peningkatan skor Indeks Syariah Malaysia yang menjadi satu komitmen kerajaan dalam melaksanakan pentadbiran negara berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.
"Dalam hal ini, nilai kesederhanaan yang sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia juga mendapat keyakinan dunia apabila resolusi bagi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi yang dikemukakan Malaysia diterima dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Dalam titah diraja itu, baginda turut mengalu-alukan langkah menambah baik sistem pengangkutan awam yang kini kadar penggunaannya semakin meningkat setiap hari.
Baginda yakin projek infrastruktur pengangkutan awam yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan akan turut memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.
"Kerajaan beta akan terus melaksanakan program transformasi bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat di luar bandar, Sabah, Sarawak, peneroka FELDA, pekebun kecil RISDA, peserta FELCRA, penduduk kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli serta Bumiputera minoriti di Sabah dan Sarawak.
"Kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan juga akan dipertingkatkan dengan nilai tambah dan nilai cipta terkini menerusi kelestarian pelbagai inovasi dan idea kreatif serta berteraskan kolaborasi pintar antara pemegang taruh kesihatan daripada pelbagai sektor," titah baginda.
Sultan Muhammad V turut melahirkan rasa sukacita terhadap pelbagai program dan aktiviti yang akan dilaksanakan bagi memperkasakan wanita dalam pelbagai sektor termasuk memastikan 30 peratus daripada golongan itu berada di peringkat pembuat keputusan.
Di samping itu, baginda turut mengalu-alukan usaha berterusan untuk mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan supaya lebih cekap bagi menjadikan Malaysia antara kelompok 20 negara teratas di dunia.
Titah baginda, integriti dan tadbir urus pentadbiran awam akan terus diperkasakan untuk membanteras elemen kebocoran, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Dalam pada itu juga Baginda  turut berkenaan menzahirkan sokongan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.
Baginda bertitah, media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai dan budaya sesuatu masyarakat di negara ini.
"Bagaimanapun, semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan pelbagai nilai baik masyarakat.
"Dalam hal ini, beta amat menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Keenam Parlimen Ke-13, hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, dilaporkan berkata jawatankuasa khas dibentuk bagi mengkaji undang-undang baharu bagi membendung berita palsu.
Ia selaras usaha kerajaan dalam menangani ancaman kestabilan politik, sekali gus menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Malaysia kini mengguna pakai Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang diperkenalkan sejak 30 tahun lalu untuk membanteras penyebaran kandungan berita palsu serta fitnah.
 
Copyright © 2014 PenangKini.