BREAKING NEWS

Monday, 30 April 2018

BN Pulau Pinang : Manifesto pembangkang tak sentuh isu pembangunan lereng bukit

GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow mengajak rakyat negeri itu bersama-sama menolak pembangunan di lereng bukit dan kawasan berisiko yang dilihatnya gagal disentuh pembangkang dalam manifesto mereka.

Teng yang juga calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Bunga berkata pembangunan di lereng bukit yang tidak terkawal bukan sahaja mengancam alam sekitar tetapi juga nyawa manusia.



“Kita mesti hentikan pembangunan di lereng bukit, kawasan cerun dan berisiko. Kita mesti lindungi alam sekitar kita dan memastikan keselamatan orang ramai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada satu forum semalam, penduduk Tanjong Bunga mendakwa kerajaan negeri pimpinan DAP meluluskan pembangunan bercampur bertingkat di kawasan seluas 12.26 ekar di atas bukit kelas 4 di Tanjong Bunga iaitu melebihi paras 250 kaki dari aras laut dan kecerunan 35 darjah.

Mengulas isu itu, Teng berkata projek tersebut bukan sahaja terletak di persekitaran yang sensitif tetapi juga bercanggah Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2007 yang melarang sebarang pembangunan di atas kawasan dengan cerun 25 darjah dan ketinggian 250 kaki di atas paras laut.

Sehubungan itu beliau menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengambil langkah sewajar selain meminta ibu pejabat Jabatan Alam Sekitar (JAS) campur tangan memandangkan Penilaian Kesan Alam Sekitar diluluskan oleh JAS negeri.

Pada pilihan raya umum ke-14 ini, DUN Tanjong Bunga akan menyaksikan pertembungan 4 penjuru antara Zairil Khir Johari yang mempertahankan kerusi itu bagi DAP, Teng dan calon Parti Rakyat Malaysia Chua Cheong Wee serta Lee Zheng Yong daripada Parti Bersama Malaysia- FMT



Isu terowong, Guan Eng sila jadi anak jantan!

RAPID FERRY AMBIL ALIH FERI PULAU PINANG ESOK 


GEORGETOWN, 30 April – Perkhidmatan feri Pulau Pinang akan diambilalih secara rasmi oleh Rapid Ferry Sdn Bhd (Rapid Ferry) mulai esok (1 Mei 2018) daripada Penang Port Sdn Bhd (PPSB), yang mengendalikan operasi dan perkhidmatan berkenaan sejak 1 Januari 1994.

Pengambilalihan operasi dan aset oleh Rapid Ferry – sebuah anak syarikat Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), disempurnakan hari ini  melalui pemeteraian Perjanjian Pengambilalihan  Perkhidmatan Feri Pulau Pinang dengan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP).

Sementara SPPP diwakili oleh Pengerusinya Datuk Tan Teik Cheng dan Pengurus Besar, Tuan Haji Mohamad Puzi Mohamad Nazir, Rapid Ferry pula diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Prasarana, Encik Mohd Rafiziee Abdul Rahman dan Encik Megat Khairolazhar Khairodin, yang merupakan Ketua Pegawai Strategi dan Transformasi Kumpulan Prasarana pada pemeteraian perjanjian berkenaan. Pada majlis yang diadakan di Hotel Royale Chulan Penang di sini, SPPP turut memeterai perjanjian dengan PPSB untuk penyerahan aset untuk operasi dan perkhidmatan feri Pulau Pinang kepada suruhanjaya berkenaan.

Pemeteraian kedua-dua perjanjian itu adalah selaras dengan keputusan Kerajaan Malaysia pada 27 September 2017, yang memutuskan supaya perkhidmatan feri Pulau Pinang  diambilalih oleh Prasarana sebagai satu inisiatif meningkatkan mutu perkhidmatan dan mentrasformasikan operasi syarikat berkenaan.

Berucap pada majlis berkenaan, Tan menyifatkan pemeteraian perjanjian itu sebagai satu catatan sejarah untuk negeri Pulau Pinang kerana ia menjanjikan satu era baru untuk perkhidmatan feri Pulau Pinang, yang menjadi satu ikon dan legasi negeri berkenaan.

“SPPP yakin dengan pengalaman luar biasa yang dimiliki oleh Prasarana dalam melaksanakan transformasi sistem pengangkutan awam, ia akan menyediakan perkhidmatan yang akan menggembirakan para pelanggan dan perkhidmatan yang lebih sempurna untuk negeri Pulau Pinang. Prasarana dan Rapid Ferry akan melaksanakan program jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang dalam melaksanakan transformasi untuk meningkatkan perkhidmatan feri Pulau Pinang dan menjadikan perkhidmatan feri sebagai satu kebanggaan negari Pulau Pinang,” kata Tan.

Prasarana dijadualkan mengadakan satu majlis taklimat media pada Sabtu ini (5 Mei) mengenai program transformasi Rapid Ferry.

Nelayan Pulau Pinang kemuka 11 syarat untuk sokongan


GEORGE TOWN: Nelayan di Paramount, Persiaran Gurney, Tanjung Tokong, Tanjung Bungah-Teluk Bahang hari ini mengemukakan 11 tuntutan kepada bakal Ahli Parlimen dan DUN kawasan itu.

Jurucakap nelayan, Syahifah Hawa Zamzuri, 29, berkata antara tuntutan itu ialah supaya kawasan nelayan Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah diiktiraf sebagai perkampungan warisan; menyediakan pelan induk bagi nelayan pantai; mengkaji semula dan menambah baik cara meluluskan lesen nelayan serta menilai semula kesan alam sekitar bagi projek Seri Tanjung Pinang (STP) 1, STP2 dan Gurney Wharf.

Tuntutan lain ialah supaya semua pembangunan di kawasan itu perlu berasaskan inspirasi nelayan; menolak sebarang projek baharu tebus guna tanah; kerajaan negeri perlu mencari langkah alternatif untuk menjana ekonomi dan bukannya bergantung kepada kegiatan tebus guna dan menjual tanah serta memantau aktiviti penangkapan ikan secara haram.


Mewujudkan pelan strategik bagi komuniti nelayan pantai; memulihara dan memelihara kawasan bakau yang musnah akibat aktiviti tebus guna tanah serta penubuhan jawatankuasa tindakan untukmemantau semua isu alam sekitar juga disenaraikan dalam tuntutan tersebut.

“Bagi mana-mana ahli politik yang boleh memenuhi tuntutan yang kami suarakan hari ini, kami akan memberi undi kami kepada mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini,” katanya semasa forum serta sidang media hari ini.

Persiaran Gurney, Unit Paramount dan Tanjung Tokong berada dalam kawasan DUN Pulau Tikus manakala Tanjong Bunga di bawah DUN Tanjong Bunga.

Kedua-dua kerusi DUN itu berada dalam kawasan Parlimen Bukit Bendera dan kesemua kerusi tersebut dimenangi DAP sejak PRU12 pada 2008 ketika peralihan pentadbiran kerajaan negeri kepada parti pembangkang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Teng Chang Yeow yang akan bertanding di kerusi DUN Tanjong Bunga berkata tuntutan yang dibuat golongan nelayan itu adalah munasabah dan boleh direalisasikan sekiranya BN merampas semula Pulau Pinang daripada pembangkang.

“Kita akan menilai semula Penilaian Terperinci Kesan Alam Sekitar (DEIA) bagi projek tebus guna tanah dan memastikan semuanya dilaksanakan mengikut kaedah yang betul,” katanya.

Teng diiringi Jason Loo Jieh Sheng yang akan bertanding di kerusi DUN Pulau Tikus serta calon lain hadir bersama wakil nelayan semasa forum itu - FMT


Saturday, 28 April 2018

Pesawat Dr. Mahathir tidak disabotaj

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan tiada sebarang unsur sabotaj melibatkan pesawat yang dinaiki calon Perdana Menteri sementara gabungan pembangkang PKR, Tun Dr. Mahathir Mohamad, semalam.

Pengerusinya, Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati pesawat tersebut gagal terbang disebabkan mengalami masalah teknikal kecil dan kesalahan rutin iaitu kebocoran udara dari bahagian kiri tayar depan pesawat tersebut.


"Berdasarkan siasatan yang dibuat oleh CAAM hari ini termasuk dengan membuat pengesahan terhadap rekod dokumentasi pesawat, pemeriksaan fizikal pesawat dan menemu bual juruterbang serta pekerja penyenggaraan pesawat khas milik Dr. Mahathir itu mendapati tiada sebarang laporan kerosakan dibuat.

"Kecuali terdapat kebocoran udara dari bahagian tayar hadapan kiri yang dibuat semalam. Pihak CAAM juga telah dimaklumkan oleh pekerja penyenggaraan bahawa tekanan angin terhadap bahagian tayar tersebut rendah. Mereka kemudian menservis dan memantau tekanan tayar tersebut, mereka mendapati tekanannya jatuh sehingga dua psi setiap minit," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan buku log perjalanan dan teknikal Vistajet pada muka surat 55778 yang dicatat semalam mengesahkan berlakunya kebocoran udara pada bahagian tersebut namun, tayar tersebut tidak dapat diganti kerana tidak mempunyai tayar gantian lain.

Sehubungan itu, katanya CAAM turut membuat pemeriksaan terhadap bahagian tayar tersebut dan mendapati ia sama dengan laporan yang dibuat sebelum ini.

"Dakwaan sabotaj terhadap pesawat sangat serius dan boleh memberikan impak terhadap reputasi Malaysia dalam bidang penerbangan secara keseluruhan.

"Secara moral juga ia merupakan kesalahan kerana membuat satu dakwaan liar dan tuduhan palsu demi kepentingan politik," katanya. - UTUSAN ONLINE

Calon PKR DUN Penaga muflis, SPR tolak pencalonan

KEPALA BATAS: Pencalonan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga, Yaakob Osman ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) selepas dia didakwa muflis.

Pengisytiharan dibuat selepas beliau hadir mengemukakan borang penamaan calon kepada SPR di pusat penamaan calon di Institut Latihan  Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang pagi tadi.

Yaakob dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertanding menggunakan logo PKR mendakwa dirinya terkejut dengan perkara itu.

Ketua Informasi PPBM negeri itu berkata, beliau telah melakukan semakan sebanyak dua kali berhubung perkara itu termasuk semalam.

Beliau yang mendakwa amat kecewa dengan penolakan tersebut, memaklumkan dirinya bertanding kerana membawa suara dan harapan rakyat Penaga.

Pihaknya akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan lanjut.

Penolakan pencalonan itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu di DUN Penaga antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zain Ahmad dengan calon Pas, Yusni Mat Piah.

Penyandang Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan mempertahankan kerusi yang diwakilinya itu dan akan menentang calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan calon Pas, Siti Mastura Muhammad.

Dr Zaidi, dari Amanah bertanding menggunakan logo PKR.

Manakala bagi Kerusi Dun Bertam, penyandang  kerusi itu, Shariful Azhar Othman akan bertemu  wakil PKR dari PPBM, Khalid Mehtab Mohd Ishaq dan PAS Mokhtar Ramli.

Akhirnya bagi kerusi Pinang Tunggal, Penyandang Datuk Roslan Saidin akan melawan  Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman  dari PKR dan Bukhori Ghazali dari Pas.

#PRU14 Pertandingan 4 Penjuru #NibongTebal #P047


Parlimen Nibong Tebal menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh menyaksikan pertandingan tiga penjuru,Dewan Undangan Negeri (DUN) Jawi menyaksikan pertandingan enam penjuru & Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan pertandingan empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Calon Parlimen P047 ialah Dato' Ir Dr Shaik Hussein Mydin (BN) bakal ditentang  Datuk Mansor Othman (PKR), Mohd. Helmi Harun (Pas) & Bekas MP Tan Tee Beng (Bebas)

Bagi Calon DUN Jawi N19 ialah Tan Beng Huat Parti Alternatif Rakyat (PAP), Dr. Kiew Hen Chong (BN); E. Daphne (Penang Front Party); H’ng Mooi Lye (PKR); Tan Chew Suan (Parti Rakyat Malaysia) dan Koay Xing Boon (Parti Bersama Malaysia).

Bagi Calon DUN Sungai Bakap N20  pula menyaksikan persaingan empat penjuru antara BN yang diwakili Datuk Mohamed Sani Bakar (BN); Tan Chow Kang (PRM); Osman Jaafar (Pas) dan Amar Pritpal Abdullah (PKR).

Calon DUN Sungai Acheh N21  ialah Datuk Mahmud Zakaria (BN),penyandang kerusi DUN itu akan ditentang calon Pas Nor Zamri Latif dan Zulkifli Ibrahim (PKR).










Pemuda Umno buat laporan polis terhadap Rafizi




Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis terhadap Rafizi Ramli yang mendakwa Datuk Seri Mohamad Hasan dan pengurus pilihan raya SPR menggunakan polis untuk menghalang calon Pakatan Harapan (PH) Dr Streram Sinnasamy mengemukakan borang pencalonan untuk DUN Rantau.






Friday, 27 April 2018

Tanpa DAP : Negeri Akan Pasti Bersih, Selamat, Hijau & Sihat



1. Penulis merujuk kepada kenyataan Lim Guan Eng semasa pengumuman calon-calon Pilihan Raya umum Ke-14 di Pulau Pinang. Beliau dan calon-calon Pakatan pembangkang mendakwa kononnya 'memperjuangkan Pulau Pinang yang disayangi kerana Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat.’

2. Beliau mendabik dada pengurangan hutang negeri sebanyak 90% kepada hanya RM62 juta. Tetapi beliau gagal untuk berterus terang iaitu:

❗Pengurangan hutang 90% itu adalah disebabkan oleh Penstrukturan semula Perkhidmatan Air Negara yang melibatkan pemindah milikan aset air Kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM655.2 juta kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAD).

❗Penstrukturan Semula Industri Air ini adalah satu inisiatif daripada pihak Kerajaan BN Persekutuan dan inisiatif ini telah dimulakan pada tahun 2005 iaitu apabila Pulau Pinang masih ditadbir oleh BN.

❗Hutang kurang 90% itu tidak ada kena mengena dengan 'kecekapan kerajaan DAP' seperti yang didakwa.

❗Guan Eng juga sekali lagi memainkan isu yang sudah dijawab. Beliau mendakwa BN gagal menunaikan janji yang dibuat sebanyak 3 kali oleh Perdana Menteri untuk membina LRT.

3. Yang disembunyikan oleh Guan Eng ialah pembinaan sistem LRT ini akan ditunaikan HANYA jika BN memerintah negeri Pulau Pinang pada PRU13 yang lepas. Tetapi sekarang, Pakatan dan DAP adalah pemerintah negeri ini.

4. Guan Eng dengan tanpa malunya turut mendakwa ‘DAP akan berjuang untuk pembinaan transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang’. Padahal, sejak 2008 kerajaan DAP telah berjanji untuk membina monorel dari Pulau Pinang ke Butterworth, membina projek Transit Aliran Massa (MRT) bawah tanah dan membina LRT. Tetapi semuanya ini hanya janji-janji palsu yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan DAP.

Bukan itu sahaja.

5. Kerajaan DAP bergelumang dengan skandal mega terowong bawah laut dan 3 laluan utama yang bernilai billion ringgit wang rakyat. Projek yang dianugerahkan pada tahun 2013 tetapi tidak ada apa-apa pun yang bermula sehingga ke saat ini. Projek ini juga sedang di siasat oleh pihak SPRM kerana wujudnya kes rasuah.

6. Lim Guan Eng juga buat-buat lupa yang DAP sendiri telah mungkir janji membohongi rakyat. Beliau ibarat 'menjilat ludah di muka sendiri' dan memungkiri Manifesto Pakatan Pembangkang itu sendiri yang tidak akan menaikkan tarif air. Tetapi tarif air dinaikkan dan rakyat Pulau Pinang dipersalahkan. Kononnya, kenaikan tarif air ini adalah 'untuk mendidik rakyat Pulau Pinang'.

7. Media turut melaporkan wujudnya kawasan yang tidak pernah berlaku bencana banjir kerana kelemahan perancangan dan penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

8. YB Nordin Ahmad (BN-Bayan Lepas) pula mendedahkan terdapat beberapa kawasan lereng bukit di Bayan Lepas dan Teluk Kumbar, diluluskan kerajaan DAP negeri untuk membangunkan projek perumahan mewah. Menurutnya, akibat kerja-kerja membersihkan kawasan bukit itu, sungai dan parit di kawasan sekitar tertimbus sehingga menyekat aliran air terutama ketika hujan lebat.

9. Lebih menyedihkan, tambahnya, ketika kerja-kerja pembersihan dilakukan selepas banjir surut, syarikat pemaju langsung tidak ‘tunjuk muka’ atau menghulurkan bantuan kepada mangsa.

10. DAP juga berjanji akan menghapuskan tol TETAPI Lim Guan Eng dan kerajaan DAP ibarat lidah bercabang apabila membenarkan syarikat konsesi mengutip tol selama 30 tahun untuk pengguna terowong bawah laut.

11. Lebih pelik lagi, kos pembinaan terowong akan dibiayai oleh kerajaan DAP tetapi syarikat konsesi masih boleh mengutip tol! Jika merujuk perjanjian konsesi tol biasa, syarikat konsesi perlu mengutip tol untuk membiayai pembinaan projek  tersebut tetapi tidak di Pulau Pinang. Ia menjadikannya perjanjian tol paling berat sebelah dalam dunia.

12. Kerajaan DAP juga begitu jelas melindungi aktiviti kilang haram apabila segala pendedahan dan rayuan rakan ADUN PKR mereka dibakulsampahkan begitu sahaja. Dan ADUN PKR ini menjadi mangsa puak RBA dan DAP dengan pelbagai penghinaan dan ugutan sehingga ADUN PKR itu bernekad untuk tidak bertanding lagi pada PRU14 nanti. Status isu ini juga amat kabur hingga ke hari ini.

Realitinya, PRU14 adalah masa yang terbaik untuk rakyat Pulau Pinang menolak parti DAP dan sekutunya. Pulau Pinang perlu diselamatkan daripada kerosakan yang dibawa oleh DAP.

Sumber

Mahkamah tolak permohonan 16 bekas anggota UMNO cabar kesahihan parti

Mahkamah tolak permohonan 16 bekas anggota UMNO cabar kesahihan parti
Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla (dua, kiri) mewakili 16 orang yang mendakwa mereka ahli UMNO, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan 16 bekas anggota UMNO untuk mencabar kesahihan parti itu kerana tidak mengadakan pemilihan parti dalam tempoh ditetapkan yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan UMNO, dan menegaskan keputusan sesebuah parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan 16 individu berkenaan selaku pemohon.

Shamsul mewakili Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) selaku responden pertama manakala Datuk Ab Rauf Yusoh dinamakan responden kedua, dalam kapasitinya sebagai penjawat awam UMNO.

Kamaludin dalam penghakimannya berkata mahkamah bersetuju dengan hujahan Peguam Kanan Persekutuan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 terpakai dan ia mengecualikan bidang kuasa mahkamah dalam perkara membabitkan pertikaian antara anggota sesebuah parti politik.

Thursday, 26 April 2018

Tampil calon baharu penuhi cita rasa semasa

Penunggang Motosikal Mengamuk Setelah Terlibat Dalam Kemalangan

BAYAN LEPAS: Seorang wanita hamil trauma apabila dia menjadi mangsa penunggang motosikal yang mengamuk selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Kampung Jawa, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.42 pagi itu, cermin hadapan dan belakang kereta mangsa dipecahkan penunggang motosikal terbabit dengan tukul dan topi keledar.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa yang berusia 27 tahun dan hamil lima bulan dalam perjalanan menghantar adiknya ke tempat kerja di sebuah kilang di kawasan itu.

"Ketika tiba di tempat kejadian, mangsa memberhentikan kereta kerana mahu membelok ke kanan jalan.

"Bagaimanapun, sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dari arah bertentangan melanggar bahagian hadapan kiri kereta dipandunya," katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian memberitahu penunggang motosikal terbabit mahu membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

"Ketika itulah penunggang motosikal berkenaan secara tiba-tiba mengamuk dengan memecahkan cermin kereta mangsa menggunakan tukul besi dan topi keledar.

"Bimbang dengan kejadian itu, mangsa membuat satu laporan polis berhubung kejdian terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, polis sudah menahan penunggang motosikal terbabit yang berusia 31 tahun bagi membantu siasatan.

"Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan jenayah dan tiga rekod membabitkan kes dadah.

"Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah dan kita turut merampas topi keledar, tukul besi, pakaian serta motosikalnya," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

Cheng Guan ikut mana Guan Eng pergi

Warga Asing Tiba di Pulau Pinang Untuk Mengundi PRU 14 ?



Tular di laman facebook apabila pengguna facebook memuat naik 2 video yang dirakam di Lapangan Terbang Antarabangsa Penang pada 23 April 2018. pemilik facebook berkenaan menulis “Bangalas (sic) are coming into Malaysia to vote for Barisan Nasional,” di laman Facebook dan video berkenaan telah mendapat 17,305 perkongsian.

PENJELASAN

Menurut akhbar Sin Chew, warga asing yang tiba pada tarikh tersebut merupakan peserta konvonsyen tahunan anjuran sebuah syarikat pemasaran berbilang peringkat (MLM) qnet. Para peserta konvensyen berkenaan datang dari pelbagai negara termasuklah Hong Kong, Mesir, India dan beberapa buah negara lagi,

Konvensyen berkenaan bermula pada 24 April dan berakhir pada 28 April 2018.

Para pembaca dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu sebelum menularkan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada negara dan boleh dikenakan tindakan melalui Akta Berita Anti tidak benar 2018.

http://m.thestar.com.my/story.aspx…




KetidakPatuhan Undan-unadng Membawa Kemusnahan Alam di Pulau Pinang



Ketidakpatuhan kepada undang-undang dan pelbagai peraturan yang ada menjadi punca kemusnahan alam termasuklah di negeri Pulau Pinang.

Hal ini dinyatakan oleh tiga orang ahli akademik dalam diskusi khas sempena Hari Bumi 2018 di sini malam tadi yang bertajuk Pembangunan Bandar untuk Kelestarian Masa Hadapan.

Menurut Pakar Rujuk Alam Sekitar dan pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Mohd Omar Bin Ab Kadir, keengganan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri untuk mendengar nasihat dan pandangan dari pelbagai pihak memburukkan keadaan ini seperti yang terjadi di negeri Pulau Pinang.

“Walau pun pelbagai peraturan ada untuk mengekang isu kemusnahan alam sekitar, penerokaan tanah cerun, pertanian yang tidak terkawal di atas bukit yang digondolkan, perumahan mewah, menambak laut yang mengancam pendapatan nelayan mahu pun alam dan pelbagai lagi kegiatan yang memberi kesan besar kepada masyarakat apabila berlaku tanah runtuh yang meragut nyawa, banjir kilat yang berulangkali dan pelbagai kemusnahan yang memberikan kesan kepada kehidupan sosial dan pembangunan ekonomi masyarakat,” kata Mohd. Omar.

Tegas beliau, adalah amat penting untuk mengambil langkah pencegahan demi masa hadapan negara dengan setiap orang menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa kerana apa yang berlaku adalah melibatkan kita semua serta pada masa yang sama pihak berkuasa perlu mendengar rintihan dan suara masyarakat kerana merekalah yang sering terjejas teruk tatkala berlaku sesuatu bencana dan mala petaka alam.

Beliau yang lebih 30 tahun menjadi perunding dan melakukan audit alam sekitar terutamanya di Pulau Pinang, melahirkan kebimbangan dengan pengurusan alam sekitar yang tidak lestari di negeri Pulau Pinang seperti mana yang terjadi kebelakangan ini dengan mengambil iktibar kerosakan tanah tinggi Cameron Highland dan tragedi runtuhan Highland Towers Selangor pada 11 Disember 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

“Saya pernah membangkitkan isu kualiti alam sekitar tetapi tidak diambil serius yang akhirnya kita tahu berlaku banyak kejadian yang menjejaskan kehidupan apatah lagi bagi saya yang pernah kehilangan keluarga terdekat dalam tragedi Highland Towers,”kata Mohd. Omar.

Sementara itu, pakar penilai dan audit impak alam sekitar akibat pembangunan yang juga pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Profesor Dr. Nik Norulaini Binti Nik Ab Rahman berpendapat dari pengalaman beliau selama lebih 30 tahun membuat penilaian impak alam sekitar (EIA) penilaian kualiti alam sekitar dan pelbagai peraturan yang ada, namun kelemahan dan penguatkuasaan dan pemantauan sering menjadi masalah kepada semua.

“Laporan EIA diluluskan dengan memberikan syarat-syarat yang perlu dipatuhi pihak pemaju dengan langkah-langkah kawalan serta perlu mematuhi Pengurusan Amalan Terbaik atau Best Management Practices - BMPs bagi langkah-langkah kawalan hakisan dan sedimen yang perlu disenarai dan diperincikan.

“Soal yang penting ialah siapakah yang memantau dan memastikan pemaju projek mematuhi kesemua syarat, jika tidak patuhi adakah langkah yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa ke atas pemaju serta yang utama, berapa banyakkah projek yang tidak membuat EIA sebelum pembangunan dan mengapa terjadi sedemikian,” tegas Nik Norulaini .

Sementara itu Pengarah Pusat Kajian Kekestarian Global Dr. Suzyrman Sibli berpendapat, adalah penting semua pihak memainkan peranan dalam mengekang pembangunan yang tidak lestari yang sering membeti kesan kepada alam sekitar, ekonom8 dan sosial masyarakat apatah lagi melihat sendiri pelbagai mala petaka yang berlaku di negeri Pulau Pinang kebelakangan ini ternasuk banjir yang semakin kerap walau hanya setelah hujan begerapa jam, tanah runtuh yan* mengorbankan nyawa dan pengurusan sisa pepejal yang menjejaskan kualiti kesihatan masyarakat.

“Kita di USM beriltizam untuk menjayakan tema Hari Bumi 2018 berkisar sekitar menamatkan pencemaran plastik bermula dengan mengurangkan penggunaannya dan menghapuskan penggunaan straw di kafetaria untuk mengulangi kejayaan Kempen Keranda Putih (The White Coffin Campaign) pada tahun 2008 yang menghapuskan penggunaan polistrina di dalam kampus sekaligus memberi kesan kepada dasar yang berkaitan penggunaan polistrina dan plastik seluruh negara,”kata Suzyrman.

Lebih 300 orang pelajar dan wakil pertubuhan sukarela menghadiri program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar USM, Sekretariat Kampus Sejahtera, Kelab Geografi dan Gabungan Anak-anak Pulau Pinang sempena Hari Bumi 2018 itu.

Najib: Dr M pelakon nombor 1 negara

JERANTUT: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad “pelakon nombor 1 negara” dan layak mendapat “best actor academy award” kerana sifat kepura-puraannya.

Najib berkata ini dibuktikan apabila Dr Mahathir suatu ketika dahulu lantang mengkritik seteruk-teruknya pemimpin PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mengaitkannya dengan salah laku seksual, namun kini berbaik-baik pula dengan Anwar demi matlamat peribadinya.



“Baru-baru ini selamba dia ke mahkamah (semasa perbicaraan) jumpa Anwar Ibrahim. Saya tengok pun geleng kepala dengan telatahnya. Orang macam ini kita tidak boleh pakai.



“Kita kena ada pendirian, dalam politik kalah menang tidak mengapa asalkan ada maruah diri… dia boleh berbuat demikian tetapi saya tidak boleh,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Bangunan Tambahan Hospital Jerantut dan Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Jerantut hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Bahagian Umno Jerantut Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Timbalan Ketua Bahagian Umno Jerantut Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak.

Lebih 2,000 anggota jentera Umno sekitar kawasan Parlimen Jerantut dan kakitangan jabatan kesihatan daerah, turut hadir pada majlis berkenaan.

Najib berkata Dr Mahathir selama ini hanya menjadi ‘’kuda tunggangan DAP” untuk memecahbelahkan Melayu bagi merealisasikan hasrat politik menjatuhkan kerajaan.

“DAP nak tunjuk mereka baik kepada Melayu, itu tipu sahaja… hakikatnya saya mahu tanya DAP ini suka kepada orang Islam atau tidak, betul ke mereka nak bantu memajukan kawasan luar bandar seperti mana BN yang ditunjangi Umno lakukan.

“Ini berbeza dengan MCA dan MIC serta Gerakan, yang memang ikhlas membantu rakyat, sebab itu negara kita maju, aman dan menjadi negara hebat sehingga kita melihat banyak perubahan besar dalam negara,” katanya.

Pada majlis itu, perdana menteri berkata Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang pertama di Jerantut akan dibina seperti dimohon penduduk setempat melalui ucapan Ahmad Nazlan sebelum itu.

Najib turut merasmikan projek menaik taraf Hospital Daerah Jerantut, merangkumi blok bangunan baru dengan kapasiti 30 katil, jabatan kecemasan dan trauma, jabatan pesakit luar dan klinik pakar.

Hospital berkenaan yang mempunyai 77 katil mula beroperasi tahun 1977, sebelum dirasmikan pada tahun 1979.

Selain itu, Najib turut umum pembinaan Klinik Kesihatan baru di Kg Padang Piol selain penaiktarafan 3 klinik aitu Klinik Kesihatan Kampung Labu, Klinik Kesihatan Kuala Tahan dan Klinik Kesihatan Sungai Tekam Utara.

Wednesday, 25 April 2018

PCM bertanding dua kerusi lawan Guan Eng


Cheng Guan ‘sailang’ Guan Eng?


LANGKAH yang tepat andai kata terfikir oleh Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan untuk mempertaruhkan dirinya sebagai calon bebas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dengan keberanian beliau mendedahkan isu-isu salah laku dan salah guna kuasa di Pulau Pinang sehinggakan menerima ugutan bunuh awal tahun ini, sudah sewajar­nya Cheng Guan meneruskan hasratnya itu.

Nama Cheng Guan bukanlah asing dalam laporan media arus perdana, stesen televisyen dan portal propembangkang. Kelibatnya sering muncul di balai-balai polis mendedahkan penyelewengan.

Sebelum ini beliau membangkitkan skandal pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang sehingga beberapa tangkapan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau jugalah orangnya yang menimbulkan isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan di Pulau Pinang sehingga pasukan itu diharamkan di negeri ini. Tidak dilupakan, beliau juga lantang membangkitkan isu pembelian banglo Ketua Menteri, Lim Guan Eng sehingga kes berkenaan didakwa di mahkamah.

Kalau sudah ke tahap itu yang ahli politik lain pun tidak capai piawaian berkenaan, apa nak dikatakan lagi - KPI atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Cheng Guan menjadi bukti dirinya layak bertanding.

Tetapi kali ini, akhbar ini dimaklumkan, Cheng Guan tidak mahu ‘biasa-biasa’ bertanding.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai.

Lawan yang dipilih pun bukan sembarangan. Akhbar ini difahamkan, Guan Eng menjadi pilihan Cheng Guan untuk disekat di kerusi Parlimen Bagan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dalam persaingan PRU-14 ini. Cuma tunggu pengesahan rasmi daripada Cheng Guan sahaja, dijangka sidang akhbarnya hari ini.

Bagi Cheng Guan, keadaan di Pulau Pinang sekarang ini teruk. Contohnya dalam isu banjir dan perumahan. Ada banyak kondominium yang dibina tetapi hanya mampu dilihat sahaja dan bukannya mampu milik.

“Harganya sampai RM700,000 hingga RM1 juta. Orang biasa memang tidak mampu beli. Banyak kilang yang besar sudah pindah ke luar Pulau Pinang. Anak-anak negeri itu berhijrah ke Kuala Lumpur sebab di Pulau Pinang kurang kerja. Pendapatan purata bulanan bagi isi rumah penduduk Pulau Pinang juga di bawah kadar purata kebangsaan.

“Guan Eng pula ada kes rasuah dan asyik menyalahkan orang lain sahaja. Sepatutnya dia kena letak jawatan. Kalau orang lain yang terbabit dalam kes rasuah dia pandai pula suruh orang itu letak jawatan,” kata beliau.

Cheng Guan menarik perhatian di era Tun Dr. Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) yang menggerakkan pembinaan rumah kos rendah hanya berharga RM25,000 seunit sahaja.

“Masa itu saya dalam tentera dan gaji saya lebih kurang RM400 sahaja sebulan. Saya mampu beli rumah kos rendah kerana bayaran bulanannya hanya RM138 sebulan. Saya rasa zaman itu adalah yang paling baik kerana dasar-dasar yang dilaksanakan oleh Chong Eu,” kata beliau.

Cheng Guan sudah merasai ‘sepak terajang’ politik tanah air.

Bekas Naib Presiden Gerakan ini pernah memenangi kerusi Parlimen Batu Kawan dengan meraih 17,097 undi jauh meninggalkan calon DAP yang hanya memperoleh 6,552 undi. Nasib bagaimanapun tidak menyebelahinya apabila kecundang pada PRU-12, PRU-13 dan pilihan raya kecil di Bukit Gelugor - ketiga-tiganya pada calon DAP.Tidak ada salahnya untuk Cheng Guan mencuba kali ini.

Lihatlah bagaimana cubaan veteran DAP, Lim Kit Siang untuk menewaskan Tan Sri Koh Tsu Koon pada 1995 gagal setelah kalah kepada Ketua Menteri ketiga itu di DUN Tanjong Bungah, walaupun dia menang di Parlimen Tanjong.

Tahun 1999, Kit Siang berpindah ke kawasan lain. Perpindahan itu membawa padah apabila beliau kecundang kepada Setiausaha Agung Gerakan, Chia Kwang Chye di Parlimen Bukit Bendera dan di DUN Kebun Bunga kepada Dr. Teng Hock Nan. Berikutan kekalahan pada November 1999 itu, Kit Siang meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung tetapi dilantik sebagai pengerusi. Selepas kecewa di Pulau Pinang, Kit Siang membawa diri ke luar Pulau Pinang, destinasinya ke Perak pada 2004 dan memilih Ipoh Timur sebagai pangkalan baharu sehinggalah pada PRU-2008.

Kit Siang melilau sana sini, sampailah dia di Gelang Patah, Johor. Cuma Cheng Guan, tolonglah anda kekal (bertanding) di Pulau Pinang.

SUMBER 

Tuesday, 24 April 2018

#PRU14 BN Pulau Pinang Kemuka Lebih Separuh Calon Muda

Barisan Nasional Pulau Pinang memperkenalkan 60 peratus calon muka baharu dari 53 calon di 13 Parlimen dan 40 DUN dalam Pilihanraya Umum Ke-14.

Pengerusi BN Negeri – Teng Chang Yeow bertanding di Dun Tanjung Bungah menentang Zairil Khir Johari dari DAP.

Antara kerusi panas, Permatang Pauh diwakili Datuk Mohd Zaidi Said bakal berhadapan Nurul Izzah Anwar, Nibong Tebal diwakili  Datuk Shaik Mydin Hussein, manakala penyandang Parlimen Kepala Batas, Balik Pulau dan Tasek Gelugor dikekalkan.

Calon paling muda merupakan Koo Pei Chee, 32 tahun bertanding di kerusi Dun Batu Lanchang.

#PRU14 Senarai Penuh Calon BN Pulau Pinang

Berikut senarai calon BN bagi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang diumum Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow hari ini.


Kepala Batas P041

Parlimen Kepala Batas : REEZAL MERICAN BIN NAINA MERICAN
N01 Penaga : MOHD ZAIN BIN AHMAD
N02.Bertam : SHARIFUL AZHAR BIN OTHMAN
N03 Pinang Tunggal :ROSLAN BIN SAIDIN

P042: Tasek Gelugor

Parlimen Tasek Gelugor : SHABUDIN BIN YAHAYA
N04 Permatang Berangan : NOR HAFIZAH BINTI OTHMAN
N05 Sungai Dua : MUHAMAD YUSOFF BIN MOHD NOOR
N06 Telok Ayer Tawar: ZAMRI BIN CHE ROS

P043: Bagan

Parlimen Bagan  : LEE BENG SENG
N07 Sg Puyu : LIM HAI SONG
N08 Bagan Jermal : ANG CHOR KEONG
N09 Bagan Dalam : DHINAGARAN A/L JAYABALAN

P044 Permatang Pauh 

Parlimen Permatang Pauh  : MOHD ZAIDI BIN MOHD SAID
N10 Seberang Jaya: ABU BAKAR SIDEKH BIN ZAINUL ABIDIN
N11 Permatang Pasir: ANUAR FAISAL YAHAYA
N12Penanti : SUHAIMI BIN SABUDIN

P045: Bukit Mertajam 

Parlimen Bukit Mertajam : GUI GUAT LYE
N013 Berapit : GOH SWEE GIM
N014 Machang Bubuk : TAN TEIK CHENG
N15Padang Lalang : KUAN HIN YEEP

P046: Batu Kawan

Parlimen Batu Kawan : JAYANTHI DEVI A/P BALAGURU
N16 Perai : SURESH A/L MUNIANDY
N17 Bukit Tengah : THOR TEONG GEE
N18 Bukit Tambun : HARTINI TAN ABDULLAH

P047: Nibong Tebal

Parlimen Nibong Tebal : SHAIK HUSSEIN BIN MYDIN
N19 Jawi : KIEW HEN CHONG
N20 Sg Bakap : MOHAMED SANI BIN BAKAR
N21 Sg Acheh : MAHMUD BIN ZAKARIA


P048 : Bukit Bendera

Parlimen Bukit Bendera : ANDY YONG KIM SENG
N22 Tanjong Bungah : TENG CHANG YEOW
N23 Air Putih : TANG HEAP SENG

N24 Kebun Bunga  : OOI ZHI YI
N25 Pulau Tikus : LOO JIEH SHENG

P049: Tanjong

Parlimen Tanjong : NG SIEW LAI
N26 Padang Kota : H’NG KHOON LENG
N27 Pengkalan Kota : LIM SWEE BOK
N28 Komtar : TAN HING TEIK

P050: Jelutong

Parlimen Jelutong : BALJIT SINGH A/L JIGIRI SINGH
N29 Keramat : LEE BOON TEN
N30 Sungai Pinang : NG FOOK ON
N31 Batu Lanchang : KOO PEI CHEE

P051: Bukit  Gelugor

Parlimen: LOW JOO HIAP
N32 Seri Delima : KHOO KAY TEONG
N33 Air Itam : TAN KAH LEONG
N34 Paya Terubong :WONG CHIN CHONG

P052 Bayan Baru

Parlimen: CHUAH SENG GUAN
N35 Batu Uban : HNG CHEE WEY
N36 Pantai Jerjak : OH TONG KEONG
N37 Batu Maung : LIAKAT ALI BIN MOHAMED ALI

P053 Balik Pulau

Parlimen Balik Pulau : HILMI BIN YAHAYA
N38 Bayan Lepas : RUSLI BIN HASHIM
N39 Pulau Betong : MUHAMAD FARID BIN SAAD
N40 Telok Bahang : SHAH HAEDAN BIN AYOOB HUSSAIN SHAH 

Monday, 23 April 2018

DAP tunjuk belang dengan pengumuman menteri Kabinet

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata DAP sudah menunjukkan belangnya dengan mengumumkan 2 ahli parti itu sebagai calon menteri Kabinet.

Najib menerusi laman Twitter semalam mempersoalkan pengumuman yang dibuat Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kerana ketua menteri Pulau Pinang itu bukanlah calon perdana menteri dipilih Pakatan Harapan (PH).


Calon perdana menteri PH adalah Tun Dr Mahathir Mohamad. Kuasa mutlak bagi menentukan calon menteri kabinet terletak pada perdana menteri, kata Najib.

“Jelas parti mana yang sebenarnya pegang kuasa dalam Pakatan Harapan, yang lain tu pak turut saja,” katanya.

Baru-baru ini, Lim mengumumkan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dan Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong sebagai calon menteri Kabinet jika masing-masing menang kerusi Parlimen Teluk Intan di Perak dan kerusi Parlimen Ayer Hitam di Johor.

Jangan cuba takutkan ahli UMNO

DAP TUNJUK BELANG UMUM CALON MENTERI KABINET

Sunday, 22 April 2018

Undi pembangkang, perancangan negara ranap - Zahid Hamidi

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, segala pembangunan dan perancangan negara akan musnah dan ranap jika pengundi khususnya generasi muda dan pengundi kali pertama memilih pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang termasuk janji mereka dalam manifesto pilihan raya hanya memberi kesan buruk kepada negara termasuk generasi muda.

"Jangan dengar tohmahan pembangkang yang pelbagai kerana mereka berhajat untuk menjatuhkan kepimpinan dan kerajaan sedia ada.

"Mereka bercita-cita untuk mengadakan perubahan kononnya tetapi daripada aku janji yang diperlihatkan, menunjukkan mereka bukan mahu menjanjikan perubahan yang lebih baik tetapi akan memusnahkan dan meranapkan segala perancangan dan pembangunan sedia ada dalam negara.

"Kalau kita mahu kesinambungan, kita tak ada pilihan melainkan terus menyokong BN dalam PRU-14 kerana hanya BN yang dapat melaksanakan program yang dirancangkan dalam manifesto PRU-14 kerana dari segi rekod kecemerlangan, BN sudah melaksanakan aku janji iaitu manifesto PRU lalu dengan pencapaian 99.4 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Belia Negaraku anjuran Pemuda BN dan Majlis Belia Malaysia (MBM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Muara di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut menyaksikan penyerahan geran bagi pembiayaan latihan kemahiran bidang pertanian bernilai RM440,000 oleh Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (i-GRO), Nordin Abdul Malek kepada 30 belia di Parlimen Bagan Datuk.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Pemuda BN, Khairul Azwan Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin.

Ahmad Zahid berkata, BN di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan manifesto BN termasuk khusus bagi orang muda, mempunyai pelbagai aku janji yang akan ditunaikan kerajaan jika terus diberi mandat selepas PRU-14.

Katanya, Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang memfokus kepada generasi muda atau Gen Y dan milenia antara perancangan strategik dan kepedulian kerajaan terhadap golongan itu tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama kerana mereka adalah aset berharga negara dan kerajaan mahu memastikan kepentingan mereka dan negara.

"Kesungguhan ini dapat diperhatikan daripada komitmen Perdana Menteri. Oleh itu, biarpun terjahan hujanan petir dan kilat kepada kerajaan BN, terutama kepada Perdana Menteri, anak muda terutama pengundi pertama kali atau pengundi muda, perlu terus memberi sokongan kepada Perdana Menteri dengan mengundi dan menyokong calon BN. Itu cara untuk kita menyokong," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan termasuk dalam industri penangkapan ikan tuna dan kilang pemasangan kenderaan dan enjin elektrik akan diwujudkan di Bagan Datuk dalam tempoh lima tahun selepas PRU-14, dengan memberi keutamaan kepada penduduk dari Parlimen itu.

"Sebelum karnival ini diadakan pun kita sudah tawarkan 1,000 peluang pekerjaan kepada anak Bagan Datuk," katanya sambil berjanji akan membina trek motosikal atas permintaan orang muda di Parlimen itu.

Terdahulu, Khairul Azwan berkata, karnival kerjaya iaitu Ekspo Pemuda BN yang diadakan di sini hari ini menawarkan hampir 1,000 peluang pekerjaan khusus kepada anak muda di Bagan Datuk.

Beliau berkata, karnival kerjaya kali ini adalah yang ke-39 sejak empat tahun lalu dan komitmen itu bukan bermusim atau kerana pilihan raya tetapi kerana sedar keperluan peluang kerjaya diperlukan golongan muda.

Saturday, 21 April 2018

Jika GST mansuh, defisit fiskal meningkat sehingga 3 peratus – Financial Times

KUALA LUMPUR – Defisit fiskal akan meningkat kepada 2.9 peratus sehingga 3 peratus tahun ini sekiranya Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) dimansuhkan, menurut kajian sebuah akhbar kewangan ternama antarabangsa, Financial Times.

Laporan tersebut terkandung di dalam Kajian Sulit Financial Times (FTCR) hasil kaji selidik ke atas 1,000 responden yang tinggal di bandar-bandar besar di Malaysia.

Di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia telah berjaya mengurangkan defisitnya dan dijangka ia akan turun sehingga 2.8 peratus tahun ini berbanding tiga peratus tahun lepas.

Manakala menjelang 2023, kerajaan akan mencapai bajet berimbang.

Antara isu yang dibangkitkan semasa kempen adalah GST yang dikatakan antara penyebab kepada peningkatan kos sara hidup dan pihak pembangkang berjanji akan memasuhkan GST dalam tempoh 100 hari sekiranya mereka berkuasa.

Kaji selidik oleh FCTR ini mendapati empat negeri Melayu di utara menunjukkan lebih separuh daripada 252 koresponden mempunyai pandangan negatif terhadap situasi ekonomi manakala kurang daripada suku berpendapat mereka gembira dengan keadaan tersebut.

Sementara itu, kajian FTCR juga mendapati mendapati Barisan Nasional (BN) dijangka kembali berkuasa selepas Pilihanraya umum ke-14 (PRU14) nanti.

BN mungkin tidak menang besar kerana terdapat sentimen tidak puas hati dalam kalangan orang Melayu terhadap kerajaan terutama yang melibatkan peningkat kos sara hidup.

Jelasnya, kajian tersebut mendapati salah satu penyebab kemenangan BN adalah pensempadanan semula yang menyebabkan pengundi Melayu dimasukkan ke kerusi-kerusi marginal bagi meningkatkan kemenangan BN sementara pengundi bangsa lain dikumpulkan ke kerusi pembangkang.

Secara amnya, langkah tersebut dijangka menyebabkan pembangkang mendapat undi popular tetapi tidak akan memberi impak kepada penambahan kerusi yang membawa kemenangan keseluruhan.

Bagaimanapun, strategi untuk memenangi mengumpul pengundi Melayu di kerusi marginal hanya berjaya sekiranya sokongan kaum tersebut masih sama seperti pada 2013.

Tambahnya, susah untuk menilai pada skala berapakah “tsunami Melayu” akan berlaku pada PRU14 nanti. – theRakyat

Pelan rasionalisasi 1MDB berjaya, kata Arul Kanda



KUALA LUMPUR: Pelan rasionalisasi 1MDB berjaya dan telus sepenuhnya, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy.

“Sejak 3 tahun lepas, pembangkang telah mempolitikkan isu perniagaan ini untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik. Malang bagi mereka, rancangan rasionalisasi dalam jagaan saya, berjaya,” katanya.

Dalam temu bual dengan Martin Soong dan Oriel Morrison dari Street Signs Asia CNBC Asia hari ini, Arul Kanda berkata, syarikat itu meneruskan penglibatan media kerana ia benar-benar telus, serta sentiasa dan secara terang-terangan menjelaskan kepada masyarakat mengenai isu pelaburan kerana ia mempunyai bon didagangkan secara umum berjumlah AS$7.75 bilion (AS$1 = RM3.89) di pasaran.



“1MDB memulakan pelan rasionalisasi pada 2016 untuk menjana keuntungan ke atas aset syarikat dari semasa ke semasa dan memenuhi obligasi hutangnya. Sehingga kini, ia belum mengingkari kewajipan pembayaran balik hutangnya.

“Kami juga menjual aset dan memindahkan pemilikan aset kepada MoF (Kementerian Kewangan) supaya ia dapat dikembangkan secara bebas daripada 1MDB.

“Sebagai contoh, TRX (Tun Razak Exchange) berjaya menarik HSBC sebagai penyewa utama dan menandatangani perjanjian bagi Prudential Insurance, manakala 1MDB menjalin usaha sama dengan Land Lease untuk bersama membangunkan 17 ekar (6.88 hektar) tanah,” kata Arul Kanda.

Beliau berkata, komuniti perniagaan dan pelaburan antarabangsa sudah melihat melepasi isu lama dan berpuas hati terhadap ketelusan serta keterbukaan syarikat dan kini komited melabur dalam projek yang berasal dari 1MDB.

“Syarikat ini tidak mempunyai masalah kewangan dan memenuhi semua tanggungjawab hutang kami secara penuh dan tepat pada waktunya, dan kami menjangkakan dapat melakukannya sehingga sampai tempoh matang hutang akhir yang harus dibayar,” katanya.

Arul Kanda menegaskan 1MDB mempunyai aset hampir AS$11 bilion dan hutang sebanyak AS$7.75 bilion, manakala aliran tunai daripada pelupusan serta pemindahan aset akan digunakan untuk melangsaikan hutangnya, ketika ini syarikat itu yakin terhadap keupayaannya untuk memenuhi semua kewajipan itu.

Mengenai tindakan pembangkang menggesa siasatan berterusan ke atas 1MDB, Arul Kanda berkata, Bank Negara Malaysia menyelesaikan siasatannya dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, yang terdiri daripada 14 ahli, termasuk 5 anggota pembangkang, mengemukakan laporannya pada April 2016, berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara.

“Tiada dakwaan jenayah atau sivil dibuat. 1MDB menyatakan ia bukan pihak kepada sebarang siasatan undang-undang yang sedang dijalankan dan bukan subjek kepada sebarang siasatan,” katanya.

Friday, 20 April 2018

#ECRL - Kos pengangkutan lebih rendah - harga boleh dikurangkan dan lebih banyak produk boleh dijual.


ianya juga boleh membuka lebih banyak peluang ekonomi termasuk pelancongan, komoditi.
bayangkan kapal perdagangan dari negara luar akan terus ke Pelabuhan Kuantan dan kemudian diedar ke terengganu dan Pelabuhan Klang melalui jalan darat ( ECRL) tanpa melalui Negara Singapura
80% kapal minyak ke Asia Timur lalu Selat Melaka. Selain Panama Canal dan Suez di Mesir, Selat Melaka adalah laluan laut yang penting di dunia.
Hari ini kapal kapal ini banyak berlabuh di Singapura dengan kos seliaan yang tinggi. Jika ECRL siap, semua kontena ini boleh dilabuhkan di Pelabuhan Klang dan diambil semula di Pelabuhan Kuantan atau Pelabuhan baru di Tumpat.
Siapa yang untung bila jadi begini? Orang apa yang ramai hidup di Tumpat dan Kuantan dan akan dapat beribu peluang kerja bila ECRL siap? Orang bangsa mana?
Jadi, pihak mana yang dengki dan mungkin sanggup melabur berbillion kepada pihak yang sanggup serang dan batalkan ECRL ini agar kepentingan mereka terpelihara.
Azmin sudah sabotaj ECRL di Selangor, Husam juga dan Mahathir. Mereka ini bercakap bagi pihak siapa sebenarnya. Dalam mereka duk kata ECRL ini China hendak jajah la.. itu la...
Sebenarnya siapa yang menjajah mulut mereka untuk cakap begitu? Siapa?

BN Pulau Pinang umum calon minggu depan

Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dijangka mengumumkan calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), minggu depan.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow, berkata pengumuman senarai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang itu dijangka dibuat pada Isnin atau Selasa depan.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat sejurus senarai calon dikemukakan parti komponen BN dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Setakat ini kita masih menunggu beberapa parti komponen untuk memuktamadkan senarai calon masing-masing dan pengumumannya akan dibuat sejurus menerima kebenaran pucuk pimpinan parti.

"Ini kerana mungkin terdapat beberapa perubahan senarai calon bagi parti komponen BN pada saat akhir, bagaimanapun ia hanya akan diumumkan nanti," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan calon bagi kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-14 akan diumumkan Pengerusi BN di negeri masing-masing.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, Najib selaku Pengerusi BN memberi kuasa kepada Pengerusi BN kesemua negeri untuk berbuat demikian, selain tarikh bersesuaian sudah diberikan kepada mereka.

Kerajaan Pulau Pinang gagal tepati lapan janji

Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang hari ini menempelak kerajaan negeri yang didakwa gagal melaksanakan lapan janji membabitkan pembinaan kemudahan pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT) di negeri itu.

Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow, berkata tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang tidak menunaikan janji kepada rakyat itu membuktikan mereka layak digelar 'kerajaan negeri yang paling gagal' di negara ini.

Beliau berkata, sejak 2008 kerajaan negeri berjanji untuk mengembalikan sistem trem, membina monorel dari Pulau Pinang ke Butterworth, membina projek Transit Aliran Massa (MRT) bawah tanah, membina LRT, selain pembinaan kereta kabel SkyCab.

"Inilah antara janji-janji kerajaan negeri yang gagal ditepati. Kerajaan negeri mungkin lupa dengan semua ini, tetapi kita tidak lupa. Malah kita menyenaraikan 51 janji yang mereka gagal tunaikan sejak 10 tahun lalu," katanya pada sidang media di Pejabat GERAKAN negeri, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, dilaporkan mengutuk Manifesto BN Pulau Pinang yang didakwa tidak mengandungi janji untuk membina sistem pengangkutan awam yang efisyen, termasuk pembinaan LRT.

Manifesto BN negeri yang mengandungi enam teras utama dan 60 insentif itu dilancarkan Chang Yeow di sebuah hotel di Seberang Jaya pada Ahad lalu.



Antara tawaran yang mendapat perhatian utama adalah pembatalan projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan antara Persiaran Gurney dan Bagan Ajam di Butterworth.

Sementara itu, Chang Yeow berkata, BN negeri mampu membatalkan projek terowong dasar laut tanpa membayar pampasan, jika diberi mandat untuk mentadbir Pulau Pinang pada PRU-14.

Katanya, perkara itu boleh dilakukan berikutan modal berbayar syarikat tujuan khas (SPV) bagi projek itu tidak menepati piawaian ditentukan, iaitu RM381 juta ketika pemberian kontrak oleh kerajaan negeri pada Mac 2013.

"Selapas lima tahun menandatangani kontrak, tiada sebarang usaha pun untuk memulakan projek mega berkenaan, dan ini termasuklah kajian kebolehlaksanaan yang sudah melepasi tarikh akhir," katanya.

Pada 2015, kerajaan DAP Pulau Pinang mengumumkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) yang merangkumi pembinaan kemudahan pengangkutan awam LRT, tiga lebuh raya berkembar dan projek terowong dasar laut.

Pelan itu turut membabitkan pembinaan tiga pulau buatan di selatan Pulau Pinang, yang masing-masing berkeluasan 809 hektar, 526 hektar dan 324 hektar bagi tujuan perindustrian, perumahan serta komersial untuk membiayai kos PIP.



 
Copyright © 2014 PenangKini.