BREAKING NEWS

Sunday, 8 April 2018

ADUN Tanjung Bungah keluar DAP


GEORGETOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah dari DAP, Teh Yee Cheu mengumumkan keluar dari parti itu berkuatkuasa semalam.
Yee Cheu yang menyertai DAP sejak 18 tahun lalu, membuat pengumuman itu melalui laman Facebooknya susulan pembubaran Parlimen.
Melalui 'posting' terkininya, beliau dipetik berkata: "Secara automatik, hari ini, 7 April 2018, tarikh pembubaran Parlimen secara rasmi adalah tarikh sama saya keluar DAP...demi kebaikan seperti yang saya umumkan beberapa bulan lalu.
Beliau yang dihubungi kemudian, memaklumkan akan mengadakan sidang media esok bagi membuat pengumuman dan perancangan masa depannya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Oktober lalu, Yee Cheu mengumumkan keputusannya meninggalkan DAP sebaik pembubaran Parlimen susulan tidak lagi senada dengan pucuk pimpinan.
Beliau pada sidang medianya ketika itu dipetik berkata:
"Kepimpinan DAP dan kerajaan negeri yang diterajui DAP enggan menerima kritikan ke atas mereka, sebaliknya mengkritik kumpulan tertentu yang didakwa 'mesra Barisan Nasional'.
"Saya sudah berfikir meninggalkan parti sejak 2013 kerana terdapat banyak isu gagal diselesaikan seperti transgender, menghadkan kuasa, pembangunan lereng bukit, perancangan tempatan dan struktur.
"Kini selepas pelbagai insiden yang berlaku, terutamanya kes tanah runtuh baru-baru ini, saya merasakan ini adalah masa terbaik untuk pergi."
Yee Cheu sebelum ini, menjadi antara pemimpin DAP yang sering menyatakan kerisauannya dalam pelbagai isu alam sekitar, termasuk banjir yang kerap melanda Pulau Pinang dan kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah pada Oktober lalu, yang mengakibatkan kematian 11 pekerja pembinaan.
Beliau juga menggerakkan inisiatif menghadkan kuasa jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal, namun gagal dibawa ke Sidang DUN Pulau Pinang.
Berita Harian 
 
Copyright © 2014 PenangKini.