BREAKING NEWS

Saturday, 14 April 2018

Badan antarabangsa iktiraf kecekapan BN urus ekonomi

Tatkala pembangkang terus menohmah pentadbiran BN sebelum ini sebagai gagal dalam menguruskan ekonomi negara sehinggakan Malaysia disifatkan mereka sebagai bakal bankrap, fakta dan data berkaitan daripada pelbagai institusi antarabangsa terus menepis dakwaan jahat mereka.

Dalam laporan terbaharu Bank Dunia mengenai Ekonomi Asia Timur dan Pasifik bagi edisi April 2018, ekonomi Malaysia dijangkakan mengalami pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus berbanding jangkaan sebelum ini yang berada pada kadar 5.2 peratus. Laporan itu juga menyebut bahawa pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka akan kekal kukuh dalam jangka waktu terdekat walaupun dalam kadar yang sederhana berbanding tahun lalu.

Menurut laporan tersebut, pengukuhan berterusan penggunaan swasta adalah apa yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara yang semakin memberansangkan. Peningkatan perbelanjaan modal sektor swasta nampaknya terus sahaja memacu pembentukan modal kasar negara yang banyak terhasil daripada aliran berterusan projek dan pelaburan dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.

Prestasi meningkat yang terus ditunjukkan ekonomi negara mutakhir ini nampak begitu selari dan bertepatan dengan pendapat ramai pemerhati dan pakar di luar sana yang melihat ianya adalah hasil daripada kecekapan kerajaan dan pentadbiran yang ada. Maka tidak hairanlah sesetengah daripada mereka meramalkan bahawa faktor ini bakal memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan kesinambungan pentadbiran BN pasca PRU kelak.

Sebagai contoh, ramalan sebuah badan penganalisis antarabangsa masa depan dan kuantitatif, Oxford Economics, bahawa BN akan beroleh kemenangan yang selesa pada PRU14 adalah satu manifestasi jelas betapa pertumbuhan ekonomi negara yang dinikmati kini adalah satu simbol yang jelas bercakap mengenai kecekapan gabungan politik itu dalam menguruskan negara.

Perlu diingat bahawa Oxford Economics ini bukanlah badan yang mempunyai apa-apa kepentingan dalam politik negara dan komen yang dikeluarkan badan itu berhubung prospek kemenangan BN pada PRU14 juga hanya dibuat selepas Parlimen dibubarkan dan manifesto kesemua parti bertanding dibentangkan.

Ini bermakna badan tersebut melihat janji dan manifesto yang dibentangkan BN adalah yang paling realistik dan menyerlah. Menurut badan itu, janji-janji PRU yang dibuat BN termasuklah dalam menyelesaikan isu kos sara hidup melalui kenaikan gaji penjawat awam dan kadar gaji minimum (dari RM950 kepada RM1,500 dalam tempoh lima tahun) akan dapat meransang peningkatan ekonomi negara sebanyak 0.25 peratus bagi tahun ini.

Laporan Bank Dunia dan ramalan badan penganalisis Oxford Economics tentunya akan dapat meyakinkan rakyat dalam jangka masa yang panjang bahawa kecekapan BN sememangnya perlu dipercayai dalam menguruskan ekonomi negara. Ia juga memberi makna betapa segala butiran yang terkandung dalam manifesto dan Aku Janji BN untuk PRU yang akan datang adalah sangat relevan dan pastinya bakal menghadirkan impak yang cukup besar dalam meningkatkan taraf hidup rakyat di negara ini.

-Malaysia Acsess
 
Copyright © 2014 PenangKini.