BREAKING NEWS

Wednesday, 4 April 2018

Bila Kerajaan Beri Kerakyatan Pada Warga China?

LABIS - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya kerajaan memberi kerakyatan kepada 80,000 warganegara China yang membeli kondominium di Forest City, Johor Bahru.
Katanya, dakwaan tersebut adalah tidak benar kerana tiada sebarang pihak tampil mengemukakan bukti apabila diminta berbuat demikian.
“Sebabnya ini cerita karut marut dan sebagai perdana menteri saya nafikan sekeras-kerasnya perkara ini dan sebab itu kerajaan mahu wujudkan undang-undang berita palsu bagi mencegah perkara seperti ini.
“Semalam (kelmarin), saya lihat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menjawab dakwaan Tun Mahathir bahawa terdapat tiga pulau di negeri tersebut telah dijual kepada China. Satu lagi penipuan kerana tak ada pulau yang dijual,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sewaktu merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di Bukit Mambai, di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani dan Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.
Menurutnya, tidak salah untuk berpolitik dan mengkritik kerajaan, namun menjadi kesalahan besar apabila menipu rakyat dan disebabkan itu rakyat perlu menentang penipuan yang dibawa oleh pembangkang ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sudah mengatur pelbagai perancangan yang begitu lengkap dan tersusun kerana setiap bahagian serta sudut di negeri Johor telah terangkum di dalam perancangan kerajaan BN.
Menurutnya, pembangunan di beberapa kawasan di negeri ini seperti di Iskandar Malaysia dan Pengerang berjaya menarik pelaburan besar dari luar negara seperti yang dilakukan oleh syarikat petroleum Arab Saudi, Aramco.
“Aramco telah melabur RM28 bilion terhadap projek Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Pengerang dan jumlah dana pelaburan ini juga telah masuk ke dalam akaun Petronas.
“Kawasan seperti Desaru juga akan menjadi satu lokasi pelancongan yang baharu mulai pertengahan tahun ini dan mempunyai potensi yang amat besar. Negeri ini sangat bertuah kerana dalam masa sama dapat dua jenis kereta api iaitu Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru dan projek Keretapi Laju (HSR),” katanya.
Menurutnya, sepanjang lawatan kerjanya sehari di negeri ini iaitu ke daerah Muar dan Segamat, beliau yakin kerajaan BN yang memerintah Johor akan terus mengekalkan pentadbirannya selepas PRU14 nanti.
-- Sinar Harian
 
Copyright © 2014 PenangKini.