BREAKING NEWS

Friday, 20 April 2018

BN Pulau Pinang umum calon minggu depan

Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dijangka mengumumkan calon yang akan mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), minggu depan.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow, berkata pengumuman senarai calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang itu dijangka dibuat pada Isnin atau Selasa depan.

Katanya, pengumuman itu akan dibuat sejurus senarai calon dikemukakan parti komponen BN dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Setakat ini kita masih menunggu beberapa parti komponen untuk memuktamadkan senarai calon masing-masing dan pengumumannya akan dibuat sejurus menerima kebenaran pucuk pimpinan parti.

"Ini kerana mungkin terdapat beberapa perubahan senarai calon bagi parti komponen BN pada saat akhir, bagaimanapun ia hanya akan diumumkan nanti," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengumumkan calon bagi kerusi Parlimen dan DUN pada PRU-14 akan diumumkan Pengerusi BN di negeri masing-masing.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Pengerusi BN, Najib selaku Pengerusi BN memberi kuasa kepada Pengerusi BN kesemua negeri untuk berbuat demikian, selain tarikh bersesuaian sudah diberikan kepada mereka.
 
Copyright © 2014 PenangKini.