BREAKING NEWS

Thursday, 12 April 2018

BN yakin di Kepala Batas kerana ‘DNA Pak Lah’ - Reezal Merican

KEPALA BATAS: Umno Pulau Pinang yakin Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kepala Batas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berdasarkan ”DNA Pak Lah” (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang menjadi kekuatan sehingga kini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pembangunan yang dibawa bekas perdana menteri itu diteruskan sehingga kini dan ”DNA Pak Lah” menjadi tradisi Umno Kepala Batas untuk membela rakyat di kawasan berkenaan.

“Kalau kita pandang depan, belakang, kiri, kanan, atas dan bawah tak ada satu pun yang tidak ada kaitan dengan Pak Lah. Pembangunan yang dibawa macam-macam. Jadi, ini benda yang sebenarnya menjadi kekuatan dan suntikan kepada Umno Kepala Batas.

“Saya lebih bertanggungjawab untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan beliau. Alhamdulillah saya dapat laksanakannya dalam tempoh 5 tahun ini sebagai ahli Parlimen Kepala Batas. Dalam tempoh 5 tahun, 3 masjid dan 5 sekolah agama dibina di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa ribut hari ini.

Beliau berkata sudah menjadi amalan Umno Kepala Batas untuk melakukan sesuatu perkara secara istiqamah dengan mendekati dan mendengar masalah rakyat di kawasan itu.

“Kami ni dari dulu buat tradisi apa yang diajar Pak Lah, tak berapa gemar mendabik dada. Tradisi kita buat benda secara istiqamah. Jumpa orang di bawah, pastikan bila mana mereka memerlukan pemerhatian dan pembelaan kita akan ada di sana.

“Macam saya sebut dulu, kita bukan sentuh dan pergi (touch and go) tetapi kita pergi dan sentuh. Dampingan dan sentuhan kepada rakyat menjadi kelaziman kepada mana-mana wakil rakyat, tradisi yang dibawa sejak dulu,” katanya.

Reezal Merican yang juga timbalan menteri luar berkata slogan “Kepala Batas Di Hatiku” yang digunakan sebagai kempen pilihan raya adalah terjemahan kepada perhubungan yang baik antara Umno Kepala Batas dengan rakyat di kawasan itu.

“Selagi kita diikat hubungan ini dan diletaknya di hati kita, selagi itulah kita tidak akan lari dalam melaksanakan apa yang dikehendaki orang tempatan… selagi itulah saya yakin kita akan tetap dipilih sebagai pilihan terbaik mewakili hasrat, citra dan amanah rakyat Kepala Batas,” katanya.

Pada PRU13, Reezal Merican mendapat majoriti 4,176 undi dalam pertandingan satu lawan satu mengalahkan calon PAS Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden.

Ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu turut dikuasai oleh BN iaitu Datuk Mohd Zain Ahmad yang mendapat majoriti 1,662 undi di DUN Penaga, DUN Bertam Shariful Azhar Othman (1,642) dan DUN Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin (1,587).
 
Copyright © 2014 PenangKini.