BREAKING NEWS

Monday, 16 April 2018

BN yakin pertahan 10 DUN, 3 Parlimen di Pulau Pinang - Teng Chang Yeow

Barisan Nasional (BN) cukup yakin dapat mempertahankan 10 kerusi DUN dan 3 kerusi Parlimen di Pulau Pinang yang dimenanginya pada pilihan raya umum lalu.

BN akan bertarung pada pilihan raya umum ini dengan mentaliti untuk menang di semua kerusi yang ditandingi, kata Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow selepas melancarkan manifesto BN Pulau Pinang hari ini.

Pada PRU13 BN melalui Umno menang di 10 kerusi DUN dan 3 kerusi Parlimen, manakala DAP memperolehi 19 kerusi DUN dan 7 parlimen, PKR 10 DUN, 3 parlimen dan PAS 1 DUN.


Teng berkata, semua calon perlu mempunyai mentaliti untuk menang dan berjuang habis-habisan bagi memastikan BN dapat memerintah kembali Pulau Pinang.

Teng yang juga pengerusi Gerakan negeri meminta pengundi membuat penilaian dan perbandingan terbaik dalam menentukan siapa yang akan dipilih pada PRU14.

Beliau berkata, rakyat perlu memastikan kerajaan yang dipilih adalah amanah, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan rakyat.

Beliau juga mencabar Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa meletak jawatan dan bertanding sekiranya ingin bermain politik.

“Kalau nak berpolitik, letak jawatan dan bertanding. Jangan keluarkan kenyataan yang berunsur politik dengan menyatakan bahawa kenaikan surcaj di bawah kuasa kerajaan persekutuan,” katanya.

Portal berita Malaysiakini semalam melaporkan Jaseni berkata, kuasa mengenakan dan menyemak tarif air di negeri terletak pada kerajaan persekutuan dan undang-undang mensyaratkan syarikat air berkaitan negeri mendapatkan kelulusan Putrajaya sebelum melaksanakan sebarang semakan tarif air di Pulau Pinang.

 
Copyright © 2014 PenangKini.