BREAKING NEWS

Saturday, 28 April 2018

Calon PKR DUN Penaga muflis, SPR tolak pencalonan

KEPALA BATAS: Pencalonan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga, Yaakob Osman ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya  (SPR) selepas dia didakwa muflis.

Pengisytiharan dibuat selepas beliau hadir mengemukakan borang penamaan calon kepada SPR di pusat penamaan calon di Institut Latihan  Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang pagi tadi.

Yaakob dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertanding menggunakan logo PKR mendakwa dirinya terkejut dengan perkara itu.

Ketua Informasi PPBM negeri itu berkata, beliau telah melakukan semakan sebanyak dua kali berhubung perkara itu termasuk semalam.

Beliau yang mendakwa amat kecewa dengan penolakan tersebut, memaklumkan dirinya bertanding kerana membawa suara dan harapan rakyat Penaga.

Pihaknya akan berbincang dengan peguamnya untuk tindakan lanjut.

Penolakan pencalonan itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu di DUN Penaga antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zain Ahmad dengan calon Pas, Yusni Mat Piah.

Penyandang Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan mempertahankan kerusi yang diwakilinya itu dan akan menentang calon PKR, Dr Zaidi Zakaria dan calon Pas, Siti Mastura Muhammad.

Dr Zaidi, dari Amanah bertanding menggunakan logo PKR.

Manakala bagi Kerusi Dun Bertam, penyandang  kerusi itu, Shariful Azhar Othman akan bertemu  wakil PKR dari PPBM, Khalid Mehtab Mohd Ishaq dan PAS Mokhtar Ramli.

Akhirnya bagi kerusi Pinang Tunggal, Penyandang Datuk Roslan Saidin akan melawan  Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman  dari PKR dan Bukhori Ghazali dari Pas.
 
Copyright © 2014 PenangKini.