BREAKING NEWS

Thursday, 26 April 2018

Cheng Guan ikut mana Guan Eng pergi


PULAU PINANG – Naib Pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan terus menjadi mimpi buat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas akan turut bertanding di kerusi Parlimen Bagan.
Cheng Guan berkata, keputusannya untuk `mengekori’ Guan Eng itu bertujuan mendedahkan segala kepincangan dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang di bawah Ketua Menteri berkenaan.
Sehubungan itu, tambahnya, PCM juga akan meletakkan calon di satu lagi kerusi yang ditandingi Guan Eng iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerusi calon mereka R. Manikandan.
“Kita tahu kedua-dua kawasan yang ditandingi Guan Eng ini adalah kubu kuat DAP dan kita juga sedar risiko untuk kalah itu tinggi.
“Tetapi kita mengambil tanggungjawab besar untuk bertanding di kedua-dua kerusi ini kerana beranggapan ini adalah peluang untuk kita mendedahkan segala kepincangan Kerajaan DAP Pulau Pinang kepada rakyat,” katanya.
Menurut Cheng Guan, peluang berkempen di kedua-dua kawasan Guan Eng itu akan digunakan PCM untuk membongkar pelbagai kontroversi melibatkan pentadbiran DAP seperti skandal projek terowong dasar laut.
Selain itu, kata beliau, pihaknya juga akan menyedarkan penduduk berkenaan nasib dan masa depan negeri ini jika terus dibiarkan di bawah pentadbiran DAP khususnya membabitkan isu kemusnahan alam sekitar seperti penggondolan bukit dan tambak laut.
“Isu lain juga adalah berkenaan hubungan mesra kerajaan negeri dengan pemaju yang melebihi kepentingan rakyat selain kesukaran penduduk untuk memiliki rumah sendiri,” katanya.
Cheng Guan sebelum ini dikenali sebagai antara pemimpin politik yang lantang mengkritik Kerajaan DAP Pulau Pinang dan Guan Eng termasuk merupakan individu yang bertanggungjawab mendedahkan skandal projek terowong dasar laut.
Laporan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal projek itu membawa kepada penahanan beberapa individu di sebalik projek berkenaan. – theRakyat
 
Copyright © 2014 PenangKini.