BREAKING NEWS

Wednesday, 4 April 2018

Cuti Peristiwa Jika PRU-14 Pada Hari Persekolahan

JENJARUM: Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia mengumumkan cuti peristiwa kepada sekolah yang terbabit jika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan pada hari persekolahan.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata walaupun mempunyai 10,200 sekolah di negara ini, tetapi tidak semua akan digunakan sebagai pusat pengundian.
Justeru, beliau berkata, KPM akan berbincang lebih lanjut mengenai perkara itu dan bergantung kepada tarikh pilihan raya umum akan diberitahu kelak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Jika hari mengundi jatuh pada hari cuti umum, tidak perlulah kita mengumumkan sebarang cuti dan sebaliknya. Buat masa ini KPM tidak boleh menetapkan apa-apa lagi.
"Bagaimanapun, KPM sudah bersedia dari sekarang dengan apa saja keputusan untuk memastikan kelancaran PRU-14 nanti," katanya selepas dianugerahkan doktor falsafah dalam pendidikan (PhD) dan perasmian Sekolah Antarabangsa MAHSA, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Canselor Universiti MAHSA, Tun Zaki Azmi, Pro-Canselor dan Pengerusi Eksekutif, Tan Sri Prof Datuk Dr Mohamed Haniffa Abdullah, Pro-Canselor, Tan Sri Prof Dr Mohd Ismail Merican dan Timbalan Canselor, Datuk Prof Dr Khairul Anwar Abdullah.
Sementara itu, Mahdzir berkata, Universiti MAHSA adalah antara pusat pengajian swasta yang berkembang dengan pantas sejak penubuhannya 15 tahun lalu.
Katanya, dalam tempoh singkat, ia berjaya mencapai taraf universiti dan menjadi pilihan pelajar dari dalam dan luar negara.
"Universiti ini juga menampilkan jenamanya sendiri dan turut mempunyai bidang pengkhususan dalam bidang pendidikan perubatan," katanya.
- BH Online
 
Copyright © 2014 PenangKini.