BREAKING NEWS

Sunday, 1 April 2018

Elaun sukarelawan polis naik RM2 sejam serta merta

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenaikan elaun sukarelawan polis di seluruh negara sebanyak RM2 sejam berkuat kuasa serta merta.

Zahid berkata, ia membabitkan kenaikan elaun anggota daripada RM6 kepada RM8 sejam, manakala pegawai daripada RM7 kepada RM9 sejam.

“Saya ingin mengumumkan bagi sukarelawan polis kenaikan elaun berkuat kuasa sebagaimana pengumuman perdana menteri untuk seluruh anggota sukarelawan dalam pasukan sukarelawan yang lain.

“Kenaikan ini berkuat kuasa serta merta…mudah-mudahan akan lebih ramai lagi penyertaan di dalam pasukan sukarelawan ini untuk memberikan motivasi dan semangat yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kasim.

Zahid berkata perdana menteri sangat menitikberatkan soal keselamatan negara, termasuk polis dengan melengkapkan pasukan itu melalui peruntukan untuk pembelian dan peralatan aset yang canggih.

“Perdana menteri memberikan respons yang sangat baik dan sangat prihatin kerana berpendapat polis perlu dilengkapkan dengan peralatan baharu supaya pencapaian polis akan lebih baik.

“Keprihatinan perdana menteri bukan sahaja setakat memperkasakan aset tetapi juga menaikkan taraf semua Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan IPD, terutama di berek polis seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata peruntukan yang besar disalurkan untuk menaik taraf berek daripada 2 unit berek kepada satu unit supaya setiap berek ada 3 bilik tidur dan sekurang-kurangnya 2 bilik air.

Zahid berharap semua perancangan untuk menaik taraf itu akan dapat dilaksanakan segera apabila semua masalah utama, termasuk kewangan dapat diatasi.

Timbalan perdana menteri turut mengharapkan kerjasama pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam membanteras dan mencegah perlakuan jenayah, sejajar slogan Hari Polis ke-211 iaitu ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

“Saya yakin melalui penglibatan masyarakat dan pemimpin komuniti, kadar jenayah pasti akan menjadi satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang boleh dicapai dan PDRM akan jadi pasukan polis terbaik, bukan hanya di rantau Asean tapi di Asia,” katanya.

Bangunan IPD Kota Setar baharu yang bernilai RM46.2 juta itu mula dibina pada 31 Oktober 2014 dan siap sepenuhnya pada 31 November tahun lalu.

Ia mula beroperasi pada 1 Februari lalu dengan kekuatan 775 anggota dan pegawai, diketuai Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin.
 
Copyright © 2014 PenangKini.